FAM sasar tiga pengadil ke Piala Dunia 2026

Md Dali (kiri) bersama Hamidin (dua kanan) pada Majlis Pelancaran MProRS di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini. Foto: Football Association of Malaysia (Official).
Md Dali (kiri) bersama Hamidin (dua kanan) pada Majlis Pelancaran MProRS di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini. Foto: Football Association of Malaysia (Official).
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini melancarkan Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) dengan misi menjadikan pengadil tempatan sebagai penanda aras pengadilan di peringkat Asia.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid berkata, selain memartabatkan mutu pengadilan tempatan, MProRS merupakan salah satu usaha FAM dalam memastikan misi melihat tiga pengadil tempatan diberikan mandat pada kempen Piala Dunia 2026 menjadi kenyataan.

"Kita ketandusan pengadil untuk terlibat dalam Piala Dunia termasuk di Qatar pada 2022 dan kali terakhir adalah Subkhiddin Mohd Salleh pada edisi 2010 (Afrika Selatan). Hasrat FAM adalah untuk pastikan pengadil tempatan berjaya sehingga ke peringkat tertinggi.

"Jadi memang misi kita untuk melihat tiga pengadil tempatan beraksi pada Piala Dunia 2026 dan dengan adanya MProRS dan beberapa program lain diharap dapat membantu misi tersebut," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran MProRS di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Seramai enam pengadil kebangsaan telah disenarai pendek untuk menjadi perintis kepada MProRS dan hanya dua terbaik akan ditawarkan kontrak pengadil profesional pada Julai depan, berdasarkan prestasi ditampilkan sepanjang empat bulan pertama saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.

Mereka yang telah disenarai pendek ialah Muhammad Nazmi Nasaruddin; Mohd Yaasin Mohd Hanafiah; Zulkarnain Zakaria; Muhammad Faizuddin Ismail; Razlan Joffri Ali dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman.

Dalam pada itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata MProRS perlu menerapkan budaya pengadilan secara profesional dan konsisten selain mahir dalam teknologi terkini bagi meningkatkan lagi prestasi pengadil.

"Mereka yang terpilih menyertai MProRS akan diberikan bimbingan secara lebih terperinci, dilatih dengan cukup profesional dan akan dinilai prestasi supaya status pengadil profesional itu sama gah dengan namanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selaras dengan Peta Hala Tuju (F:30), FAM turut menyasarkan pada tahun 2022 terdapat enam hingga lapan pengadil kebangsaan bergelar profesional menerusi MProRS.

Pengadil tempatan sebelum ini berdepan pelbagai kontroversi dan kesannya sehingga FAM terpaksa mendapatkan khidmat pengadil profesional dari Jepun untuk mengendalikan perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menyambut baik perkembangan pelaksanaan MProRS.

"Idea dan perancangan ke arah pengadil profesional telah lama kita perkatakan dan saya yakin ia sudah tentu mampu melonjakkan pengadil Malaysia ke satu tahap lebih baik sekali gus memberi impak positif terhadap mutu pengadilan dalam Liga-M," jelasnya. - Bernama