TNGD nafi TNG eWallet punca akaun bank pengguna digodam

Tular apabila pengguna mendakwa menjadi mangsa godam disebabkan penggunaan TNG eWallet.
Tular apabila pengguna mendakwa menjadi mangsa godam disebabkan penggunaan TNG eWallet.
A
A
A

SHAH ALAM - TNG Digital Sdn Bhd (TNGD) menafikan kes tular berkaitan pengguna Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet) yang mendakwa akaun bank mereka digodam berpunca daripada sistem TNGD.

TNGD berkata, TNGD telah menghubungi pengguna terlibat sebaik sahaja menerima laporan berhubung isu tular tersebut.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati masalah yang dihadapi pengguna adalah 'phishing' iaitu terdapat pihak ketiga mempunyai kata laluan 6-digit pengguna berkenaan yang menyebabkan berlaku transaksi tidak menentu.

"Ianya jelas menunjukkan bahawa aktiviti transaksi yang tidak menentu daripada akaun pengguna TNG eWallet tidak berpunca daripada sistem mahupun teknologi yang diguna pakai oleh TNGD.

"Pihak TNGD juga telah menghubungi pengguna yang terlibat dan isu berkaitan perkara ini telah berjaya diselesaikan.

"TNGD mengekalkan standard tertinggi dalam segi penggunaan teknologi dan keselamatan pada platform pembayarannya dan terus komited untuk memastikan semua penggunanya menikmati pengalaman yang lancar dan selamat ketika menggunakan TNG eWallet," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

TNGD menjelaskan 'phishing' dan godam (hack) adalah perkara berbeza kerana hack bermakna sistem keselamatan TNGD telah dikompromi untuk melakukan aktiviti tidak sah.

Sebaliknya, 'phishing' adalah satu kaedah di mana seorang pengguna ditipu secara sukarela memberikan PIN 6-digitnya agar aktiviti tersebut (transaksi) dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dan wawancara kami dengan para mangsa setakat ini menunjukkan mereka mungkin secara tidak sengaja memberikan nombor PIN 6 digit mereka kepada orang yang tidak dikenali.

"Kami juga menyedari bahawa banyak mangsa mengakui menggunakan PIN 6 angka yang mudah diteka. Inilah sebabnya mengapa kami kini aktif mendidik pelanggan kami untuk melindungi PIN 6 digit mereka dan menukarnya jika mereka mudah diteka," katanya.

Bagaimanapun TNGD sedia mengkaji semula protokol keselamatan melibatkan sebarang transaksi kemudahan itu.

"Namun pengguna memainkan peranan besar dalam mengekalkan keselamatan akaun mereka, kerana 91 peratus serangan siber bermula dengan 'phishing' (Trend Micro, 2019)," katanya.

Tular di media sosial apabila terdapat pengguna TNG eWallet mendakwa menjadi mangsa godam berpunca daripada maklumat penebusan E-Tunai Rakyat menyebabkan mangsa kerugian ribuan ringgit setelah berlaku beberapa transaksi wang melibatkan perbankan atas talian tanpa disedari mangsa.