X

Kindly register in order to view this article
!

Pas setuju isytihar harta, kata Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim pada sidang akhbar di Kementerian Alam Sekitar di sini hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Pas memberi jaminan semua ahli Parlimen parti itu akan membuat pengisytiharan harta masing-masing.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu selari dengan kedudukan parti itu sebagai anggota kerajaan atau penjawat awam.

"Semua Menteri dan Timbalan Menteri akan isytihar, ia tidak ada halangan. Isu yang berlaku di Parlimen adalah isu lain.

"Isunya adalah sumber kuasa. Sumber kuasa yang diluluskan di bawah Akta Parlimen tidak mempunyai kuasa ke atas bukan ahli Parlimen.

"Jadi macam mana kita hendak minta kepada bukan ahli Parlimen isytihar harta seperti isteri dan anak-anak," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Alam Sekitar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar berkata, beliau akan memastikan kesemua 18 ahli Parlimen Pas akan mengisytiharkan harta mereka seperti diminta.

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah menteri diarah isytihar harta

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang mengarahkan semua anggota Kabinetnya mengisytiharkan harta yang dimiliki kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini, Pas tidak bersetuju dengan usul mewajibkan semua ahli Parlimen serta isteri atau anak dan pemegang amanah mengisytiharkan harta mereka ketika di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pendirian Pas ketika itu dibuat berasaskan bahawa tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!