Arab Saudi rancang tingkatkan kapasiti pengeluaran minyak

Perang harga minyak telah menyaksikan harga minyak menjunam lebih 30 peratus pada Isnin lalu. - Foto AGENSI
Perang harga minyak telah menyaksikan harga minyak menjunam lebih 30 peratus pada Isnin lalu. - Foto AGENSI
A
A
A

RIYADH - Syarikat tenaga gergasi, Saudi Aramco hari ini merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran minyak mentah buat pertama kali dalam tempoh sedekad.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Amin al-Nasser, Kementerian Tenaga Arab Saudi telah mengarahkan kapasiti pengeluaran minyak dinaikkan daripada 12 juta tong kepada 13 juta tong sehari.

"Saudi Aramco sedang berusaha keras untuk melaksanakan arahan ini secepat mungkin," katanya yang menjelaskan tiada tempoh masa ditetapkan terhadap pelan itu yang akan melibatkan pelaburan berbilion dolar.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turut susut 1.2 peratus kepada AS$36.77 (RM155.70) setong hari ini.

Semalam, Riyadh mengumumkan ia akan meningkatkan bekalan minyak pada rekod tertinggi pada bulan April yang akan mengeruhkan lagi perang harga minyak dengan Rusia.

Keputusan itu dibuat selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar bukan kartel OPEC termasuk Rusia gagal mencapai kesepakatan untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah kepada 1.5 juta tong sehari sebagai usaha untuk menangani impak koronavirus (Covid-19) terhadap ekonomi.

Sehari selepas langkah itu dibuat, Moscow mengesahkan ia sedia untuk memperbaharui kerjasama dengan kartel OPEC walaupun pada mulanya ia menolak langkah itu ketika pertemuan di Vienna pada Jumaat lalu. - AFP

Artikel Berkaitan: