Yeop tak terkejor Lang Merah

Pemain import Kedah berjaya melepasi kawalan pertahanan Perak. - Foto AHMAD ZAKI OSMAN
A
A

DUA gol pada babak kedua nyata memusnahkan impian Perak untuk muncul juara sulung Unity Shield apabila tewas 0-2 kepada Kedah di Stadium Darul Aman, semalam.

Bermula garang sebaik wisel permulaan, skuad The Bos Gaurus itu dilihat gagal menembusi benteng pertahanan tuan rumah bagi membuka jaringan.

Malah sebalikknya, skuad Lang Merah itu pula yang dilihat berjaya mengatur serangan balas ke gawang pelawat, namun tetap gagal memecah kebuntuan jaringan hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan mula menggandakan asakan ke gawang lawan masing-masing namun tuah nyata memihak tuan rumah apabila pemain import, Fernando Rodriguez Ortega menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-67.

Bagai mendapat semangat baharu, Kedah semakin hebat melancarkan serangan ke gawang Perak dan akhinya pada minit ke-75, pemain gantian Syahrul Azwari Ibrahim tenang menanduk masuk untuk gol kedua perlawanan.

Ketinggalan 0-2, bagaimanapun dilihat tidak melemahkan semangat kesebelasan pelawat untuk mengasak gawang tuan rumah untuk sekurang-kurangnya meledak jaringan penyamaan.

Bagaimanapun sekali lagi, benteng Kedah mudah mematahkan asakan-asakan berkenaan dan sekali gus menyaksikan kedudukan perlawanan kekal ke wisel penamat.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia