Tiga individu termasuk dua wanita warga Vietnam edar dadah diberkas

Mazlan menunjukkan pistol angin dan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Sentul di sini hari ini.
Mazlan menunjukkan pistol angin dan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Sentul di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk dua wanita warga Vietnam yang dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu berjaya diberkas dalam operasi berasingan pada 4 Mac lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan seorang lelaki di dalam sebuah kereta jenis BMW 330E pada jam 10.30 malam di tepi jalan di Solaris di sini.

“Kita merampas dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan seberat 61 gram, ganja seberat 82 gram, 650 pil ecstasy dan 1500 pil erimin 5 serta wang tunai RM3,200 yang dijumpai di dalam kereta tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut ke atas suspek, polis menyerbu dua unit kondominium di kawasan Damansara Perdana, Petaling Jaya.

“Hasil pemeriksaan di unit pertama kondominium itu, kita berjaya menahan dua wanita berusia 25 dan 29 tahun serta merampas dadah jenis methamphetamine seberat 50.50 gram, ketamin 77 gram, ganja 60 gram, 106 pil ecstasy dan serbuk ectasy seberat 9.20 gram,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya turut merampas pelbagai mata wang asing yang dianggarkan bernilai RM7,496 dan pelbagai barang kemas yang dianggarkan bernilai RM18,000.

‘Dalam pemeriksaan di unit kedua kondominium pula, kita berjaya merampas sepucuk pistol angin bersama 300 biji butir peluru ‘ball bearing’, selain rampasan pelbagai jenis dadah. Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM228,089,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan awal ke atas kesemua suspek mendapati hanya suspek lelaki sahaja positif dadah jenih methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua suspek direman seminggu sehingga hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Dadah Berbahaya 1952, hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.