68 individu dari Wuhan dikuarantin negatif Covid-19

Dr Adham (dua dari kiri) menyerahkan surat pelepasan kepada salah seorang individu yang dikuarantin selama 14 hari di AKEPT selepas dibawa pulang dari Wuhan,China pada 26 Februari lalu.
Dr Adham (dua dari kiri) menyerahkan surat pelepasan kepada salah seorang individu yang dikuarantin selama 14 hari di AKEPT selepas dibawa pulang dari Wuhan,China pada 26 Februari lalu.
A
A
A

NILAI - Seramai 48 rakyat Malaysia dan 20 bukan warganegara dari Wuhan, China yang dikuarantin di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) disahkan bebas daripada sebarang jangkitan koronavirus (Covid-19).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kesemua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah menjalani saringan kesihatan selama 14 hari dan disahkan negatif Covid-19.

Terdahulu, pada 26 Februari lalu, seramai 68 rakyat Malaysia dan pasangan serta ahli keluarga dari Wuhan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.50 pagi.

Mereka tiba di KLIA dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan dengan menaiki penerbangan AirAsia AK8265.

Setiba di KLIA, mereka perlu menjalani saringan kesihatan sebelum dibawa ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai bagi proses kuarantin selama 14 hari.

Pusat kuarantin ini akan menjalani proses pembersihan dan misi Wuhan Fasa kedua ini ditutup.

Sementara itu Dr Adham memberitahu, Tiada kes terbaharu koronavirus (Covid-19) dicatatkan di negara ini sehingga jam 3 petang hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod semalam, sebanyak 129 kes positif Covid-19 di mana 25 kes telah sembuh dan 104 individu masih lagi dirawat serta tiada kematian direkodkan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat semalam kes terbaharu adalah sebanyak 12 kes, tetapi hari ini setakat masa ini belum ada kes baru lagi.

"Mungkin berita selanjutnya akan diperoleh kemudian," katanya selepas mengadakan lawatan ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai pelaksanaan misi Wuhan Fasa ketiga memandangkan masih ada rakyat tempatan terkandas di wilayah itu akibat masalah logistik, Dr Adham berkata, terpulang kepada Wisma Putra untuk membuat keputusan.

"Saya akan melihat kepada cadangan Wisma Putra berhubung perkara ini (Misi Wuhan Fasa 3)," katanya.