Geng Wan Master aktif curi kenderaan mewah diberkas

Mazlan menunjukkan kereta yang dirampas di IPD Sentul di sini hari ini.
Mazlan menunjukkan kereta yang dirampas di IPD Sentul di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis berjaya memberkas 11 ahli Geng Wan Master yang dipercayai aktif mencuri kenderaan mewah di premis menjual kereta terpakai sejak Disember tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai enam buah kereta mewah jenis BMW dan Audi bernilai RM600,000 dilarikan sindiket berkenaan di sebuah premis menjual kereta terpakai di Segambut pada 15 Februari lalu.

“Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berjaya memberkas 11 individu termasuk dua wanita dalam Op Lejang yang telah dilaksanakan pada 22 Februari hingga 29 Februari lalu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sentul di sini hari ini.

Mazlan berkata, kesemua individu berusia dalam lingkungan 24 hingga 41 tahun itu ditahan di Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Dalam operasi tersebut juga kita berjaya merampas 10 buah kereta antaranya Mercedes E250, Mercedes C200, Mercedes C300 Brabus, Audi A4, BMW 320i, Honda Civic, Honda Accord dan tiga Proton Wira Aeroback. Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM740,000,” katanya.

Menurutnya, modus operandi sindiket berkenaan adalah salah seorang daripada ahli kumpulan berperanan memecah masuk ke dalam kedai untuk mendapatkan kunci pendua kereta.

“Lima suspek lagi bertindak membawa keluar enam buah kereta mewah yang berada di kedai tersebut. Kereta yang dilarikan itu kemudiannya akan diparkir di pusat beli-belah dan tepi jalan sebelum dijual semula kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati sembilan individu termasuk seorang wanita mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

“Salah seorang suspek merupakan individu yang dikehendaki polis atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan enam kes iaitu tiga kes di Kuala Lumpur dan tiga kes lagi di Selangor.

“Kita masih lagi mengesan saki-baki kumpulan penjenayah ini yang dipercayai masih berada di negara ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.