RFID di tol sistem tertutup PLUS bermula April

RFID
RFID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula 1 April, pengguna lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bakal menikmati kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua 83 tol sistem tertutup dari utara ke selatan.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail berkata, perkhidmatan RFID itu turut melibatkan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), sekali gus menandakan penyempurnaan ekosistem lebuh raya PLUS yang menggunakan sistem RFID sepenuhnya.

Azman berkata, pelaksanaan itu adalah selaras dengan objektif kerajaan untuk memodenkan pembayaran tol dan menambah baik pengalaman perjalanan lebuh raya melalui pengurusan kesesakan di plaza tol serta menggalakkan kelancaran laluan dalam menerajui Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.

"Kami menjangkakan peningkatan dalam permintaan RFID terutama dalam kalangan 1.7 juta pelanggan lebuh raya harian kami berikutan sejak 36 bulan lepas, PLUS menyelaraskan sistem RFID bersama Touch ‘n Go di 10 plaza tol sistem terbuka.

“Menerusi RFID, pelanggan lebuh raya tidak perlu lagi berhadapan kesukaran untuk menambah nilai kad Touch 'n Go mereka kerana ia boleh dilakukan dengan mudah secara dalam talian menerusi telefon bimbit dan aplikasi Touch 'n Go eWallet yang dihubungkan terus kepada tag RFID yang dipasang pada kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi tujuan itu, 173 lorong RFID termasuk 131 lorong khas RFID akan dibuka di 83 plaza tol di Lebuh Raya PLUS bermula 1 April.

Azman berkata, walaupun transaksi tol menggunakan RFID diperkenalkan, transaksi tol menggunakan kad Touch 'n Go dan Smart Tag masih diterima di plaza tol bagi memudahkan pelanggan lebuh raya mengambil masa untuk bertukar kepada RFID dalam tempoh jangka masa tahun ini.

Bagi membolehkan pelanggan menggunakan sistem RFID untuk transaksi tol, PLUS menasihatkan mereka segera memasang pelekat tag RFID di pusat pemasangan yang disediakan di seluruh negara dengan merujuk di pautan https://rfidregister.touchngo.com.my/fitmen-centres.

Artikel Berkaitan:

Pelanggan lebuh raya PLUS pula boleh mengunjungi pusat pemasangan pelekat RFID yang disediakan Touch 'n Go Sdn Bhd bagi mendapatkan pelekat berkenaan.

"Sebanyak 17 pusat pemasangan tag RFID dibuka di lebuh raya PLUS mulai 13 Mac ini antaranya di Restoran Jejantas Sungai Buloh (kedua-dua arah), R&R Seremban (kedua-dua arah), R&R Tapah (kedua-dua arah), RTC Gopeng di Hentian Sebelah Simpang Pulai dan R&R Temerloh (kedua-dua arah)," katanya. - Bernama