Tiada jawatan TPM, redakan kegelisahan parti politik PN

P Sivamurugan
P Sivamurugan
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diwujudkan dalam Kabinet baharu dipercayai untuk meredakan kegelisahan dalam kalangan parti-parti Perikatan Nasional.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr P Sivamurugan berkata, jawatan Timbalan Perdana Menteri sering dilihat menjadi pesaing kepada jawatan nombor satu negara.

Menurutnya, dalam mana-mana organisasi sekalipun, jawatan nombor dua menjadi 'amat bahaya' kerana boleh menjadi punca kepada keretakan yang mungkin boleh wujud dalam parti.

"Jadi bagi Perikatan Nasional, buat masa ini, parti gabungan baharu itu dilihat tidak boleh berdepan sebarang krisis dalaman. Ia harus dielakkan, jika tidak ia boleh meruntuhkan atau menjadikan Perikatan Nasional sebagai sebuah kerajaan paling pendek.

"Jadi untuk mengatasi isu itu, barangkali jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak ada tetapi ditimbulkan jawatan lain, dibawa teknokrat serta tokoh agama yang warak, diiktiraf, dihormati dan disegani oleh masyarakat beragama Islam serta juga masyarakat bukan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Siri 159 bertajuk 'Menteri Baharu: Apa Harapan Rakyat?' di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15, di sini semalam.

Wacana yang dimoderatorkan Pengacara, Amin Idris itu turut menampilkan dua lagi panel iaitu Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muzammil Ismail dan Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil.

Sivamurugan berkata, selain itu, ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri juga dilihat sebagai satu strategi agar barisan jemaah menteri baharu seramai 69 orang yang dilantik termasuk empat menteri kanan itu boleh menumpukan kepada perjalanan dan hala tuju pentadbiran negara.

Beliau berkata, ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri juga bukan perkara baharu kerana di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak disebut tentang jawatan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam Perlembagaan Persekutuan hanya menyebut tentang jemaah menteri, timbalan menteri kemudian setiausaha Parlimen dan setiausaha politik.

"Bila tiada Timbalan Perdana Menteri, kita seolah-olah sekarang ini ada empat 'de facto' menteri kanan yang masing-masing boleh ambil alih peranan dimainkan Perdana Menteri sekiranya pemimpin nombor satu negara itu tiada atau mempunyai urusan lain.

"Kita ambil contoh, di Singapura pada 1968 sehingga 1973, mereka pernah ada dua Timbalan Perdana Menteri dan pernah ada dua menteri kanan yang menjaga pelbagai isu termasuk isu keselamatan.

"Ini bermakna dalam sebuah negeri kecil itu pun, ada bentuk acuan sedemikian rupa dan dalam konteks kita, mungkin empat menteri kanan ini dirasakan penting untuk memainkan peranan mereka agar dapat meredakan kegelisahan yang wujud dalam kalangan parti politik," katanya.

Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, di Malaysia juga pernah mempunyai 12 Timbalan Perdana Menteri dan daripada jumlah itu hanya lima pernah menjadi Perdana Menteri iaitu Tun Abdul Razak Hussien, Tun Hussien Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Yang lain ada seorang meninggal dunia, tiga meletak jawatan termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua lagi dipecat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini kembali sebagai Perdana Menteri.

"Selain itu, terdapat seorang lagi Timbalan Perdana Menteri yang partinya kalah dan tidak boleh menjadi Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya.