Isu lirik lagu lagu Akhir Zaman, Sam Bunkface tampil buat penjelasan

Bunkface
Bunkface
A
A
A
SINGLE terbaharu kumpulan Bunkface, Akhir Zaman menarik perhatian umum apabila lirik lagu berkenaan yang didakwa menyentuh tentang golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LBGT) mendapat kecaman warganet.

Lagu ciptaan Sam yang juga vokalis Bunkface itu mula tular dan dikatakan cuba mempromosikan kebencian terhadap golongan tersebut.

Sam bagaimanapun tampil membuat penjelasan dan menafikan dakwaan tersebut.

“Pertama sekali kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendengar dan strim lagu terbaharu kami, Akhir Zaman.

“Kami menerima segala kritikan positif mahupun negatif yang diberikan. Alhamdulillah, berdasarkan komen-komen yang kami terima, majoriti rakyat Malaysia memberi sokongan kepada mesej yang cuba kami sampaikan.

“Perkataan LGBT yang digunakan didalam lirik lagu ini bukanlah ditujukan kepada mana-mana individu, tetapi ianya ditujukan kepada pergerakan komuniti LGBT yang semakin meluas di seluruh dunia, terutamanya kepada mereka yang beragama Islam di negara kita ini,” ujarnya.

Tambah Sam, mesej lagu tersebut ditujukan kepada mereka yang beragama Islam sahaja. Tegasnya, mereka tidak berniat atau mahu membenci mana-mana individu, mahupun mempromosikan kebencian terhadap golongan tetentu.

“Sebaris ayat yang diadaptasi dari kitab suci Al-Quran, ‘Engkau agamamu, aku agamaku’ daripada Surah Al-Kafirun Ayat 6, menjelaskan lagi bahawasanya mesej lagu ini ditujukan kepada mereka yang beragama Islam sahaja.

“Tambahan lagi, lirik lagu ini juga dihasilkan dalam Bahasa Malaysia kerana majoriti Muslim di Malaysia terdiri dari bangsa Melayu dan supaya ianya lebih jelas, nyata dan terang untuk mereka fahami.

Artikel Berkaitan:

“Kami tidak berniat atau mahu membenci mana-mana individu, mahupun mempromosikan kebencian terhadap mereka, sebaliknya lebih kepada pergerakan LGBT yang sedang cuba mempromosikan hak mereka secara terang-terangan di Malaysia serta ditujukan khusus kepada mereka yang beragama Islam terutamanya mereka yang berbangsa Melayu.

“Yang haram itu tetap haram dan definisi Islam itu sendiri bermaksud menyerah atau tunduk patuh kepada ajaran-NYA. Jadi, siapalah kita untuk mempersoalkan hukum hakam yang telah ditetapkan-NYA,” tegas Sam.

Muzik video rasmi lagu Akhir Zaman telah pun dilancarkan pada Jumaat lalu.