Pemimpin PKR jangan takbur

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Makan Malam Keadilan 2019 untuk meraikan 2019 bersama Presiden Baharu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Convention Midlands, hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Makan Malam Keadilan 2019 untuk meraikan 2019 bersama Presiden Baharu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Convention Midlands, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengingatkan barisan kepimpinan Tertinggi PKR yang telah dipilih mentadbir negara agar tidak mendabik dada dan takbur dengan kuasa yang diberikan.

Sebaliknya, kata beliau, kepimpinan parti itu hendaklah mendengar masalah dan rintihan rakyat yang dilihat mahukan perubahan dalam pentadbiran negara ini.

"Ya, memang betul kita sudahpun menjadi kerajaan dan mempunyai kuasa di beberapa buah negeri namun janganlah kita mendabik dada dan takbur dengan kuasa yang diberikan.

"Dengarlah nasihat dan rintihan rakyat di luar sana yang mahukan perubahan... janganlah kita ulangi sikap pemerintah dahulu yang akhirnya membawa kepada kejatuhan rejim," katanya ketika berucap di majlis makan malam dan meraikan Presiden PKR yang baharu Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, malam ini.

Selain Anwar, turut hadir Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Dr Wan Azizah yang juga bekas presiden parti itu berkata barisan kepimpinan yang memegang jawatan kanan kerajaan perlu sentiasa ingat bahawa kuasa diberikan kepada mereka merupakan satu tanggungjawab.

Ini kerana, kata beliau, kepimpinan parti itu mempunyai sekurang-kurangnya empat tahun untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka boleh serta mampu mentadbir negara dengan lebih baik.

"Kitalah yang mendidik rakyat celik politik, menyedarkan hak mereka untuk bersuara dan mempertahan hak mereka.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kalau kita tidak "perform", kuasa rakyat akan menentukan di mana kita lima tahun akan datang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut menyeru semua anggota PKR menghayati kembali dasar dan perjuangan parti.

Sehubungan itu, tegas beliau, tidak perlu wujud sebarang permusuhan mahu pun persengketaan dalam kalangan anggota parti.

"Kita yang melaungkan reformasi dan demokrasi. Maka jom kita raikan dan amalkan "agree to disagree", tetapi di akhirnya kita akur kepada suatu ketetapan atau keputusan majoriti dan musyawarah, " katanya.

Anwar dalam ucapannya menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pelanggaran hukum dan disiplin dalam kalangan anggota parti.

Ketika memberikan amanat itu selaku presiden baharu PKR, Anwar berkata anggota dan pimpinan parti harus akur dengan asas perjuangan parti yang telah mengharungi segala gelombang dan getir kepayahan selama puluhan tahun.

"Saya beri peringatan mesti ada disiplin dalam parti. Kalau setakat sindir-menyindir dalam mesyuarat ok, tapi kalau terus main wayang, kalau ada, minta dihentikan," katanya.

Sementara itu, Anwar, yang juga anggota Parlimen Port Dickson, berkata beliau menyokong gesaan Bersih 2.0 bagi pindaan kepada undang-undang pilihan raya untuk melarang ahli politik daripada menggunakan jentera kerajaan bagi berkempen selepas sesuatu kerusi diisytiharkan kosong. - Bernama