Cabaran tangani terrorisme dan pandemik

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan dilihat sangat penting kepada kerajaan baharu bagi mendepani cabaran keselamatan era moden iaitu terrorisme dan pandemik.

Pakar Kajian Strategik Antikeganasan dan Diradikalisasi dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, ia dibuktikan melalui pengalaman luas Muhyiddin dalam menguruskan keselamatan negara termasuk pernah menduduki jawatan menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini.

Menurutnya, terlalu banyak perubahan besar dunia berkait rapat dengan isu terrorisme dan pandemik iaitu penyakit yang berlaku di akhir pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama isu kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) serta ancaman wabak koronavirus (Covid-19).

"Saya tidak mahu bercakap atas dasar politik tetapi lebih membicarakan signifikasi pelantikan Muhyiddin dari segi keselamatan dan kedaulatan negara.

"Dengan pengalaman luas dalam pengurusan keselamatan negara, beliau mempunyai agenda besar perlu diangkat untuk mendepani ancaman mana-mana pihak sama ada secara fizikal, taktikal mahupun secara halus seperti perang saraf dan kemasukan elemen subversif lain," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Mizan turut menggariskan beberapa faktor lain kepentingan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri seperti inisiatif beliau membangunkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) 2019 serta menjayakan teras utama menjunjung perlembagaan dan memartabatkan institusi utama negara iaitu Raja Berperlembagaan.

Mohd Mizan
Mohd Mizan

Bahkan, beliau menegaskan Muhyiddin dilihat sebagai figura penting mempertahankan tindakan pihak polis dan KDN dalam penangkapan 12 pengganas yang didakwa terlibat dengan LTTE.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun dikecam bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan suara-suara pimpinan daripada PH terutama parti DAP, tetapi Muhyiddin dengan berani mempertahankan tindakan KDN dan menempelak Peguam Negara yang dilihat mencampuri urusan badan pentadbiran negara.

"Muhyiddin juga dilihat menolak suara-suara nakal yang mahukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dihapus dan dimansuhkan.

"Sebagai penganalisis, saya juga melihat SOSMA sebagai undang-undang pencegahan adalah perlu bagi Malaysia di mana negara yang tidak mempunyai undang-undang pencegahan lebih mudah diresapi dan dihinggapi elemen-elemen subversif termasuk terrorisme," katanya.

Mohd Mizan turut yakin Muhyiddin akan meneruskan aksi pembersihan elemen korup dan ketirisan integriti dihadapi kebanyakan penjawat awam yang terlibat dalam pengawalan sempadan negara termasuk agensi penguatkuasaan berkaitan.

"Adalah tidak adil untuk saya membuat generalisasi akan tetapi kelihatannya banyak masalah berkaitan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) berlaku apabila kawalan sempadan mudah yang polos dan mudah ditembusi secara fizikal mahupun sogokan.

"Pastinya keselamatan negara berada dalam paras yang cukup bahaya apabila jumlah pendatang tanpa izin menjadi sangat besar di negara ini," katanya.

Dr Mizan berkata, apabila dilihat semula inisiatif diambil Muhyiddin ketika menjawat Menteri KDN sehingga minggu lalu, maka jelas bahawa beliau mempunyai agenda besar untuk memperkasakan keselamatan dan kedaulatan negara.

"Sudah sampai masanya Muhyiddin memperkukuhkan agensi ketenteraan dan kepolisan dalam negara ini dengan beliau boleh mendapatkan satu kumpulan penasihat pakar pelbagai agensi yang mampu mencetuskan idea tuntas untuk keselamatan negara ini.

"Bajet keselamatan harus diberi keutamaan, aset-aset keselamatan perlu diselenggara dan dilengkapkan tanpa kompromi dan paling penting jadikan keselamatan sebagai keutamaan dengan menghapuskan agenda peribadi dan tersembunyi yang boleh menghancurkan dan mengancam keselamatan negara," katanya.