Jadilah Kabinet untuk rakyat Malaysia

Kabinet Malaysia 2020
Kabinet Malaysia 2020
A
A
A

SELEPAS tiga minggu yang penuh dengan kekalutan, debaran dan teka-teki akhirnya klimaks kepada sebuah kerajaan baharu Malaysia sudah pun menuju ke penghujungnya.

Sama ada akan wujud kesinambungan drama politik yang amat memenatkan ini, plot itu hanya akan membuka tirai apabila bermulanya sidang Dewan Rakyat 18 Mei ini.

Namun yang pasti, semalam Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengumumkan Jemaah Menterinya.

Selesai pengumuman, maka ramailah pakar politik mula menganalisis Kabinet Muhyiddin.

Bukan rahsia lagi apabila Kabinet Perikatan Nasional ini yang terdiri daripada 31 menteri dan 38 timbalan menteri memang lebih besar daripada Kabinet lama Pakatan Harapan.

Walaupun menampilkan lima menteri dan empat timbalan menteri wanita, namun dengan peratusan 14.3 peratus, angka tersebut masih jauh daripada sasaran 30 peratus yang disasarkan.

Namun, sesuatu yang turut disebut paling ketara dalam Kabinet baharu ini tidak lain dan tidak bukan dominasi Melayu, Islam dan bumiputera.

Oleh kerana pada Pilihan Raya Umum lalu, parti komponen Barisan Nasional iaitu MCA dan MIC kalah di hampir semua lokasi ditandingi kecuali di Ayer Hitam, Tapah dan Cameron Highlands (tetapi dibatalkan) selain merampas Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil, Muhyiddin tidak mempunyai banyak pilihan.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhannya Kabinet Muhyiddin memiliki seorang menteri dan empat timbalan menteri berketurunan Cina. Itu pun selepas beberapa pemimpin MCA ‘dinaikkan pangkat’ menjadi senator.

Selain itu, terdapat dua Menteri dan Timbalan Menteri berketurunan India masing-masing daripada MIC serta ahli bersekutu Bersatu.

Yang pasti, demografi kaum dalam Kabinet baharu ini menjadi antara cabaran besar buat Muhyiddin bersama seluruh jentera Jemaah Menterinya.

Walaupun sudah mula menjadi modal politik pembangkang, Kabinet baharu ini perlu menterjemah dan membuktikan bahawa inilah Kabinet terbaik untuk rakyat Malaysia.

Kepada semua wakil rakyat yang terpilih tahniah di atas ‘kemenangan’ anda, sekarang masa memenangi hati rakyat pula.