Mungkinkah DUN Perak dibubar?

Sidang DUN Perak
Sidang DUN Perak
A
A
A

PEMBENTUKAN kerajaan Perikatan Nasional di Perak yang diumumkan kelmarin mendapat perhatian ramai kerana situasi itu mengingatkan kembali krisis politik yang berlaku pada tahun 2009 apabila tumbangnya kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat ketika itu.

Namun, situasi kini sedikit berbeza kerana perubahan yang berlaku rentetan pembentukan gabungan baharu di peringkat kerajaan Persekutuan.

Melalui pembentukan kerajaan baharu itu, tumpuan kini terarah kepada jawatan menteri besar yang menjadi tanda tanya sama ada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kekal atau ada muka baharu dalam kalangan gabungan tersebut yang akan dilantik sebagai ketua kerajaan.

Jika dilihat daripada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Muafakat Nasional yang terdiri daripada UMNO dan Pas memiliki 28 kerusi manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memiliki empat kerusi menjadikan gabungan itu memperoleh majoriti 32 kerusi berbanding keseluruhan sebanyak 59 kerusi DUN di Perak.

Malah Perikatan Nasional dikukuhkan lagi dengan tambahan tiga kerusi DUN apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan satu daripada Amanah mengisytiharkan diri keluar parti menjadi wakil rakyat bebas.

Jumlah kerusi DUN yang diperoleh Perikatan Nasional untuk mentadbir kerajaan Perak kini menjadi 35 dan hanya memerlukan empat lagi kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti 2/3 ADUN.

Berdasarkan kenyataan Ahmad Faizal selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta semalam, Bersatu menamakan beliau untuk kekal menjadi Menteri Besar manakala UMNO Perak pula sepakat mencalonkan pengerusi mereka, Datuk Saarani Mohamad dan Pas Perak melalui pesuruhjayanya, Razman Zakaria memaklumkan mereka akur sesiapa sahaja yang diputuskan oleh Sultan Nazrin ke jawatan tersebut.

Dicalonkan

Artikel Berkaitan:

Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kolonel (B) Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa Sultan Nazrin akan meneliti dan menimbangkan ADUN yang telah dicalonkan menggunakan kuasa baginda menurut Perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

Sama ada Ahmad Faizal atau Saarani masing-masing berkemungkinan boleh dilantik sebagai Menteri Besar Perak namun, kedua-dua mereka tidak mempunyai majoriti mudah iaitu sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN daripada parti masing-masing untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, kelebihan berpihak kepada Saarani yang mempunyai 25 ADUN UMNO serta memperoleh sokongan tiga rakan Muafakat Nasional daripada Pas menerusi akuan bersumpah yang ditandatangani kesemua wakil rakyat mereka namun masih kekurangan dua kerusi untuk memerintah Perak.

Tetapi harus diingat, sumbangan Ahmad Faizal yang berjaya membawa masuk ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai Bersatu dan tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) yang lain menyokongnya membentuk kerajaan baharu di Perak perlu dipertimbangkan.

Sepertimana pembentukan kerajaan PH sebelum ini, biarpun Bersatu hanya menang satu kerusi DUN, namun Ahmad Faizal berjaya mendapatkan sokongan dua ADUN UMNO untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak sekali gus menafikan calon lain daripada parti gabungan PH yang mempunyai kerusi DUN lebih banyak.

Perkara itu tidak mustahil akan berlaku semula jika Ahmad Faizal berjaya menarik beberapa lagi wakil rakyat daripada PH untuk masuk menyokong beliau dalam Perikatan Nasional untuk kembali sebagai menteri besar.

Keadaan ini memperlihatkan tidak ada kesepaduan dalam Perikatan Nasional apabila Muafakat Nasional dan Bersatu masing-masing mempunyai calon menteri besar sendiri.

Bagaimanapun, segala keputusan muktamad terletak kepada Sultan Nazrin yang akan menggunakan kebijaksanaan baginda.

Pembubaran DUN mungkin menjadi pilihan terakhir jika itu cara terbaik memastikan politik di Perak stabil dengan memberikan kembali kuasa memilih kepada rakyat melalui Pilihan Raya Negeri.

* Saifullah Ahmad ialah Ketua Wartawan Sinar Harian edisi Perak