Cyprus tutup hospital selepas pakar bedah positif Covid-19

Hospital Besar Nicosia di Cyprus.
Hospital Besar Nicosia di Cyprus.
A
A
A

NICOSIA - Cyprus hari ini menutup sementara hospital terbesar di negara itu selepas ketua pakar bedah jantung hospital itu merupakan antara tiga pesakit yang disahkan dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Semalam, Republik Cyprus melaporkan dua kes pertama sekali gus menjadikan kesemua negara Kesatuan Eropah (EU) kini telah terjejas wabak tersebut.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Republik Cyprus memaklumkan telah kuarantin Hospital Besar Nicosia selama sekurang-kurangnya 48 jam untuk menjalankan pembersihan terperinci terutamanya selepas ketua perubatannya disahkan positif Covid-19 setelah membuat perjalanan ke Britain baru-baru ini.

"Semua temu janji berjadual, kemasukan dan semua jenis pembedahan dibatalkan untuk tempoh dua hari akan datang. Dalam pada itu situasi akan dinilai semula.

"Pembasmian kuman di premis tersebut telah dimulakan," menurut hospital itu dalam satu kenyataan.

Individu yang mempunyai kontak dengan doktor terbabit perlu mengasingkan diri dan mereka yang membuat perjalanan ke negara terjejas virus dalam tempoh 14 hari lalu diarahkan untuk tidak keluar rumah.

Menurut Menteri Kesihatan, Constantinos Ioannou, sebanyak 152 sampel telah dihantar untuk diuji daripada pesakit dan kakitangan di hospital Nicosia yang mempunyai kontak dengan ketua pakar bedah jantung berkenaan. - AFP

Artikel Berkaitan: