Lelaki mati diikat: Dua ditahan bantu siasatan

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang ditemui mati dengan keadaan kaki dan tangan terikat di Flat Taman Pauh di sini malam semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan petang tadi dan akan direman untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, hasil bedah siasat yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya pagi tadi mendapati punca kematian mangsa disebabkan lemas akibat kesukaran pernafasan.

"Siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi mengenalpasti motif kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika dihubungi di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kepala diserkup sarung bantal, tangan dan kaki diikat

Sinar Harian semalam melaporkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki dengan keadaan kaki dan tangan terikat di sebuah rumah di Flat Taman Pauh Indah di sini malam semalam.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mayat berkenaan ditemui dalam keadaan terlentang di dalam bilik utama selain kepalanya diserkup dengan sarung bantal.

Mangsa dikenali sebagai Zahari Abdul Hamid, 48, dikatakan tinggal di rumah berkenaan bersendirian.

Polis menerima laporan daripada jiran mangsa yang tidak tahan dengan bau kurang menyenangkan dari rumah terbabit.

Artikel Berkaitan: