Aidil Sharin rehatkan Ifwat Akmal

Ifwat Akmal direhatkan Aidil Sharin menjelang aksi menentang UiTM di Shah Alam malam esok. - Foto FA Kedah
Ifwat Akmal direhatkan Aidil Sharin menjelang aksi menentang UiTM di Shah Alam malam esok. - Foto FA Kedah
A
A
A

KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengambil keputusan drastik merehatkan penjaga gol utama, Ifwat Akmal Chek Kassim bagi aksi ketiga Liga Super menentang UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, esok.

Tindakan itu diputuskan jurulatih kelahiran Singapura berkenaan susulan prestasi hambar yang ditampilkan bekas penjaga gol kebangsaan itu terutamanya pada aksi kedua liga di laman sendiri baru-baru ini yang menyaksikan Kedah tewas mengejut 3-4 kepada Terengganu.

Tempat Ifwat Akmal bakal diisi antara dua penjaga gol simpanan iaitu Shahril Saa'ri atau Muhammad Azri Abdul Ghani.

Aidil Sharin berkata tindakan beliau merehatkan Ifwat Akmal adalah bagi memastikan penjaga gol berusia 23 tahun itu dapat mengembalikan semula prestasinya ke tahap terbaik.

"Saya mahu dia kembali bangkit selepas ini dan bersedia bagi hadapi perlawanan seterusnya pada penghujung minggu nanti iaitu berdepan Selangor," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Dalam pada itu, Aidil Sharin tetap berwaspada dengan ancaman yang bakal ditampilkan skuad The Lions pada perlawanan esok, walaupun kedua-dua pasukan gagal merekodkan sebarang kemenangan selepas dua perlawanan.

Beliau menjelaskan barisan pertahanan skuad Lang Merah perlu memberi perhatian khusus kepada dua pemain import UiTM FC, Gustavo Almeida dan Rabih Ataya yang mempamerkan aksi cemerlang walaupun pasukan itu tewas 1-2 kepada juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, baru-baru ini.

"Saya ada saksikan aksi mereka ketika berdepan JDT dan jelas mereka sebuah pasukan berdisiplin serta punyai ramai pemain muda yang berpotensi.

Artikel Berkaitan:

Jelas sama sekali kami tidak boleh ambil mudah dengan UiTM kerana bila sesebuah pasukan berjumpa dengan mana-mana pasukan yang ada reputasi, mereka akan selalu mahu buktikan sesuatu,” kata Aidil Sharin.

Kedah dan UiTM FC, masing-masing menduduki tangga ke-10 dan 11 daripada 12 pasukan tanpa sebarang mata selepas gagal merekodkan sebarang kemenangan dalam dua perlawanan. - Bernama