Tiada peruntukan KWSP benar ahli buat pilihan turun kadar caruman syer pekerja

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada peruntukan dalam Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 yang membenarkan ahlinya untuk membuat pilihan bagi menurunkan kadar caruman syer pekerja yang telah ditetapkan.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein dalam kenyataan hari ini bagaimanapun memaklumkan bahawa Seksyen 43(3) akta itu membenarkan ahli membuat pilihan untuk mencarum melebihi kadar yang ditetapkan.

"Untuk kemudahan ahli, KWSP telah menyediakan Borang KWSP 17A (Khas 2020) bagi membolehkan ahli memilih untuk meningkatkan kadar caruman syer pekerja kepada 11 peratus. Borang ini boleh dimuat turun dari laman sesawang www.kwsp.gov.my," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada cadangan pelbagai pihak supaya membenarkan pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja daripada 11 peratus kepada tujuh peratus dilakukan secara sukarela dan bukan secara ‘default’ seperti yang digariskan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: Caruman KWSP tujuh peratus mulai April hingga Disember 2020

Nurhisham berkata, pihaknya faham kebimbangan ahli berkaitan simpanan persaraan mereka dan akan terus berusaha mengkaji cara untuk menyelesaikan isu ini.

“Memandangkan tempoh pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja yang singkat, kami berharap pilihan untuk meningkatkan kadar caruman ini dapat mengurangkan kerisauan ahli.

“Kami amat menghargai kesabaran ahli dalam hal ini dan akan berusaha untuk memastikan bahawa ahli KWSP dan majikan maklum hak mereka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: