Pengaruh tentera dalam politik

A
A
A

ANGKATAN tentera dalam semua negara mempunyai pengaruh politik yang luas. Tentera juga merupakan lambang kepada kedaulatan sesebuah negara dan penentang utama kepada sebarang kemungkinan serangan terhadap kerajaan sama ada dari luar atau dalam.

Dalam sains politik, mereka digelar sebagai askar pretorian. Istilah itu merujuk kepada pegawai-pegawai tentera yang merupakan aktor utama dalam politik. Mereka mengancam atau menggunakan kuasa untuk mempengaruhi keputusan kerajaan ataupun menguasai kerajaan itu sendiri.

Sebab itu penglibatan tentera mengetuai rampasan kuasa negara atau coup de’tat lumrah dalam politik bermula sejak zaman Empayar Rom lagi. Thailand dan Filipina, misalnya, ialah dua negara serantau yang beberapa kali berhadapan dengan coup de’tat.

Thailand sejak tahun 1932 telah menyaksikan 12 siri rampasan kuasa. Tiga rampasan kuasa terakhir berlaku pada tahun 1991, 2006 dan 2014. Uniknya pada dua siri terakhir, pihak tentera yang mengambil alih kerajaan demokrasi tidak mengganggu gugat pengaruh istana apabila mengekalkan kuasa raja pada tempat sedia ada.

Pada tahun 1991, kerajaan Jeneral Chatichai Choonhavan telah diguling dalam rampasan kuasa berdarah tentera diketuai Jeneral Sunthorn Kongsompong yang merupakan Ketua Majlis Keselamatan Negara. Chatichai telah ditahan semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.

Kerajaan ketika itu didakwa terbabit dalam amalan korup dan dilihat cuba untuk melemahkan pengaruh tentera. Susulan rampasan kuasa tersebut, Anand Panyarachun telah dilantik sebagai Perdana Menteri interim dan pilihan raya diadakan.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra pula dijatuhkan pihak tentera pada September 2006 semasa beliau menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.

Insiden itu disusuli bantahan dan demonstrasi selama beberapa bulan oleh kumpulan baju kuning yang menuduh pentadbiran Thaksin terlibat dalam rasuah. Rampasan kuasa tentera itu juga telah membatalkan perlembagaan, menghentikan aktiviti tunjuk perasaan serta mengisytiharkan darurat.

Artikel Berkaitan:

Krisis politik yang berpanjangan di Thailand pada tahun 2014 menyaksikan Jeneral Prayuth Chan-ocha mengetuai campur tangan tentera bagi mengembalikan keamanan susulan keganasan awam yang menyebabkan kira-kira 30 orang terbunuh.

Pentadbiran negara diambil alih selepas mahkamah memerintahkan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra meletakkan jawatan atas tuduhan rasuah dan membeli undi.

Pentadbiran Presiden Corazon Aquino di Filipina, misalnya, dipilih selepas rampasan kuasa tentera menggulingkan kerajaan Ferdinand Marcos pada tahun 1986. Corazon sendiri berhadapan dengan lima cubaan rampasan kuasa sepanjang pentadbirannya.

Rampasan

Antaranya pada Ogos 1987 oleh Kolonel Gregorio Honasan. Dia yang mengetuai Gerakan Reformasi Tentera adalah antara individu penting yang membantu Aquino semasa pemberontakan menggulingkan Marcos.

Honasan sekali lagi mengetuai rampasan pada 1 Disember 1989 melibatkan 6,000 tentera apabila berjaya menguasai tiga pangkalan tentera dan dua stesen televisyen swasta di Manila. Tentera pemberontak turut menutup lapangan terbang dan mengebom Istana Presiden.

Pihak memberontak memberitahu tindakan tersebut bukan rampasan kuasa sebaliknya cubaan menyatukan rakyat Filipina, mengembalikan kebebasan dan menghapuskan amalan rasuah.

Pada Januari 2001, Setiausaha Pertahanan Filipina, Orlando Mercado; Ketua Angkatan Tentera, Jeneral Angelo Reyes yang disokong beberapa pegawai atasan tentera dan polis menolak sokongan terhadap Presiden Joseph Estrada, sebaliknya menyokong timbalan beliau, Gloria Macapagal Arroyo untuk mengetuai negara. Rampasan kuasa itu turut mendapat restu pihak gereja.

Realiti peralihan kuasa yang berlaku melibatkan campur tangan tentera mana-mana negara pun memang tidak dapat mengelak adanya kecelakaan. Ketegangan yang berlaku pula mengambil masa untuk dipulihkan. Begitu juga dengan keyakinan pelabur luar.

Sebaliknya, kita bersyukur apabila peralihan tampuk pemerintahan Malaysia susulan keputusan PRU14 dua tahun lalu diterima rakyat secara matang tanpa mengira latar belakang politik. Terbaru, pentadbiran negara sekali lagi bertukar susulan kemelut politik penghujung bulan lalu.

Pada saat ini, rakyat terus merasai keamanan walaupun iklim politik negara tidak menentu. Ini adalah bukti bahawa Angkatan Tentera Malaysia telah memainkan peranannya sebagai pelindung kepada kedaulatan negara secara profesional.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu