KLCAH mahu kerajaan perkukuh keharmonian kaum, ekonomi dan sistem pendidikan

Jawatankuasa KLCAH. Dari kiri, Penasihat Undang-undang, Datuk Michael Wong; Pengasas dan Penasihat, Datuk Liew Poon Siak; Penasihat, Tan Sri Datuk Tee Hock Seng; Presiden, Datuk Seri Dr KK Chai; Penasihat, Tan Sri Lim Soon Peng; Penasihat, Datuk Seri Michael Chong; dan Naib Presiden, Datuk Seri Chong Lian Foo.
Jawatankuasa KLCAH. Dari kiri, Penasihat Undang-undang, Datuk Michael Wong; Pengasas dan Penasihat, Datuk Liew Poon Siak; Penasihat, Tan Sri Datuk Tee Hock Seng; Presiden, Datuk Seri Dr KK Chai; Penasihat, Tan Sri Lim Soon Peng; Penasihat, Datuk Seri Michael Chong; dan Naib Presiden, Datuk Seri Chong Lian Foo.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH) mahu kerajaan memberi tumpuan mengukuhkan keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama selain meningkatkan taraf ekonomi dan pendidikan.

KLCAH menyifatkan keharmonian sejak kemerdekaan kini menjadi alat politik sepanjang pemerintahan dua tahun lalu.

Presidennya, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, situasi itu belum pernah berlaku dalam tempoh 60 tahun lalu.

"Kerajaan perlu menyelesaikan sebarang kemungkinan salah faham antara kaum dan agama bagi mengelakkan sebarang pertikaian terus berlaku. Semua kenyataan yang menyentuh sensitiviti di saluran multimedia perlu disekat dari masa ke masa.

"Malaysia Timur mengukuhkan hubungan kaum dan agama melalui toleransi dengan menolak semua kenyataan yang boleh mendatangkan pertikaian," katanya pada sidang akhbar di sini.

KK Chai
KK Chai

KK Chai berkata, KLCAH meletakkan harapan kepada kerajaan khususnya Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang baru dilantik supaya mampu membawa ekonomi Malaysia menjadi lebih baik.

Beliau turut berharap kerajaan dapat melaksanakan pakej rangsangan ekonomi 2020 secepat mungkin untuk membantu pengusaha pelancongan dan industri lain yang terjejas berikutan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia.

Artikel Berkaitan:

"Kami gembira kerana Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Menteri Kewangan kerana beliau merupakan golongan elit dalam industri perbankan. Kami percaya bahawa ini adalah pilihan yang tepat.

"Di samping itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga merupakan calon tepat untuk mengendalikan hal ehwal ekonomi di Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Menyentuh soal pendidikan, KK Chai berkata, KLCAH berharap kerajaan dapat mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan segera.

Beliau turut menambah pelantikan Timbalan Menteri I, Datuk Dr Mah Hang Soon juga diharap dapat menyelesaikan isu pendidikan yang dihadapi masyarakat Cina di negara ini.

"Sistem UEC diiktiraf sebagai kelayakan untuk masuk ke lebih daripada 1,000 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan Hong Kong, China, Singapura, Australia, Kanada, Perancis, Australia, New Zealand, Rusia, Ireland, Indonesia, Korea Selatan, Macau.

"Graduan UEC diperlukan oleh syarikat besar di peringkat antarabangsa. KLCAH percaya pengiktirafan UEC membolehkan lebih ramai melanjutkan pengajian dan mencari peluang kerjaya dalam negara," katanya.