Dua maut kereta bertembung lori

Kereta Proton Satria remuk akibat kemalangan dengan lori 18 tan tengah hari tadi.
Kereta Proton Satria remuk akibat kemalangan dengan lori 18 tan tengah hari tadi.
A
A
A

KUANTAN- [DIKEMASKINI] Dua wanita maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 107.5 Jalan Kuantan- Segamat dekat Muadzam Shah, tengah hari tadi.

Kemalangan kira-kira jam 1.30 tengah hari itu mengorbankan pemandu kereta, Norhamizah Ismail, 24, dari Muadzam Shah dan penumpang, Lizawati Mohd Taib, 34, beralamat di Felda Keratong 4, Bandar Tun Razak.

Kedua-mangsa yang tersepit dalam kenderaan dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, pemandu lori, S Robert, 61, berasal dari Kota Tinggi, Johor dilaporkan cedera di bahagian kaki.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika dua mangsa yang menaiki kereta Proton Satria Neo dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan manakala lori dari arah bertentangan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Norhamizah dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.

"Pemandu kemudiannya cuba masuk semula ke laluan tetapi kereta itu sekali lagi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar lori yang berada di laluan itu," katanya.

Kamarulzaman berkata, akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa cedera parah dan tersepit manakala kereta mereka remuk.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,"katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, susulan maklumat diterima, lima anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan rescue tool untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.