Kapal Itali berlabuh di Singapura setelah dilarang masuk Malaysia

Kapal Costa Fortuna berlabuh di Pusat Pelayaran Marina Bay hari ini. - Foto AFP
Kapal Costa Fortuna berlabuh di Pusat Pelayaran Marina Bay hari ini. - Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Kapal persiaran yang membawa kira-kira 2,000 penumpang dilarang berlabuh di Malaysia dan Thailand ekoran kebimbangan wabak koronavirus (Covid-19) akhirnya berlabuh di Singapura hari ini.

Kapal Costa Fortuna berlabuh di Pusat Pelayaran Marina Bay seperti yang dijadualkan, setelah ia dilarang daripada melakukan perhentian di Pulau Pinang dan Phuket, lapor AFP.

Kapal pesiaran yang membawa puluhan penumpang warga Itali menegaskan tiada kes Covid-19 yang disyaki di atas kapal tersebut.

Beberapa penumpang berkata, suhu badan mereka diperiksa sebelum mereka turun dari kapal oleh seorang doktor sebelum memasuki Singapura, kata pihak berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

Tambahnya, mengisytiharkan tiada penumpang yang demam atau mempunyai gejala lain berkaitan Covid-19.

Pegawai berkata, semua penumpang di Costa Fortuna telah selesai lakukan pemeriksaan sebelum mulakan pelayaran.

Sebelum ini, Thailand enggan membenarkan kapal ini berlabuh kerana pernah ada sejarah perjalanan ke Itali sementara Malaysia melarang semua kapal pelayaran berlabuh di negara tersebut bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Itali telah terjejas teruk akibat wabak Covid-19 dengan 366 kematian yang direkodkan paling tinggi bagi negara luar China.

Artikel Berkaitan:

Singapura pada minggu lalu mengharamkan pelawat yang memiliki sejarah perjalanan ke utara Itali.

Sejak beberapa minggu kebelakangan, kapal persiaran lain turut menerima nasib sama angkara Covid-19 antaranya MS Westerdam yang dikendalikan Holland America Line milik Carnival Corp.

Kapal itu dibenarkan berlabuh di pelabuhan Sihanoukville, Kemboja pertengahan Februari lalu, selepas dilarang memasuki lima pelabuhan lain sejak memulakan pelayaran dari Hong Kong pada 1 Februari lalu.

Seluruh dunia, jumlah pesakit Covid-19 mencecah seramai 110,000 manakala dari jumlah itu seramai 3,500 telah meninggal dunia.

Mengikut jadual pelayaran kapal itu, ia bertolak dari Singapura pada 25 Februari lalu jam 9 malam, menuju ke Timur Singapura, seterusnya Ko Samui dan Laem Chabang di Thailand sebelum bergerak ke Sihanoukville di Kemboja.

Ia kembali berlabuh di Singapura pada Selasa lalu sebelum berlayar ke barat dan sampai di Langkawi pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN Kapal persiaran disekat masuk di semua pelabuhan Malaysia