Ahmad Faizal ucap terima kasih kepada tiga ADUN lompat parti

Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita hari ini.
Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita hari ini.
A
A
A

IPOH - Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merakamkan penghargaan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang mengambil keputusan keluar parti bagi memberi sokongan kepada beliau meneruskan tugas Menteri Besar Perak.

Menurutnya, ketiga-tiga wakil rakyat itu telah memberi kerjasama yang baik sepanjang beliau menjalankan tugas sebagai Menteri Besar pada pentadbiran PH lalu.

"Saya ucapkan terima kasih atas sokongan mereka bertiga. Saya memang selesa bekerjasama dan rapat dengan mereka.

"Sudah tentu saya akan teruskan kerjasama atas apa juga kapasiti saya selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Semalam, ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan wakil rakyat Buntong, A Sivasubramaniam daripada DAP serta ADUN Titi Serong daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim umum menjadi Bebas susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional di Perak.

Mereka turut menyatakan sokongan terhadap Ahmad Faizal selaku ADUN Chenderiang sebagai Menteri Besar.

ARTIKEL BERKAITAN Tiga ADUN Perak umum keluar PH

Perikatan Nasional membentuk kerajaan baharu di Perak selepas memperoleh majoriti 32 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Gabungan Perikatan Nasional di Perak diwakili 25 kerusi UMNO, Pas (3) dan Bersatu (4).

Ahmad Faizal yang telahpun meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar hari ini meminta agar rakyat bertenang dan bersabar menghadapi situasi politik semasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pastinya akan membuat keputusan terbaik dalam menentukan kepimpinan pentadbiran negeri.

"Doakan agar keselamatan dan pembangunan negeri kita berjalan dengan baik.

"Sebaik sahaja Tuanku beri titah perkenan, tentunya pihak Istana akan menetapkan tarikh angkat sumpah," katanya.

Hari ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menamakan Ahmad Faizal selaku Pengerusi Bersatu negeri sebagai calon Menteri Besar baharu.

UMNO pula mencalonkan Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad.

ARTIKEL BERKAITAN UMNO calonkan Saarani Menteri Besar Perak