RM23,000 lenyap ditipu Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang juruteknik mengalami kerugian sebanyak RM23,000 selepas ditipu ahli sindiket Macau Scam kononnya dia terlibat dalam perjudian dalam talian semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 46 tahun itu dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai di sebuah syarikat telekomunikasi di Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun katanya, mangsa menafikan dakwaan wanita tersebut namun panggilan telefon disambung kepada seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuantan.

"Suspek memberitahu mangsa bahawa akaun banknya perlu disiasat lalu mangsa menyerahkan nombor akaun serta nombor pin. Mangsa kemudian diminta memberikan empat nombor TAC.

"Lelaki itu juga mengarahkan mangsa memadamkan sistem pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, mangsa yang mula curiga terus membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati wang dalam akaun banknya hilang sebanyak RM23,000.

"Semakan mendapati, wang dari akaun mangsa dipindahkan ke akaun lain tanpa pengetahuannya dan menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan: