Pimpinan PH khianat demokrasi dipersilakan keluar: Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar dan mahu pemimpin yang mengkhianati amalan demokrasi supaya keluar dari Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau mahu mengukuhkan pergerakan parti itu dan menerangkan kepada rakyat berkenaan sanggahan pihak mengkhianati mandat rakyat.

Menurutnya, PKR tidak perlu panik dengan tragedi keruntuhan kerajaan PH sebaliknya semua ahli parti itu perlu kembali memulihkan semangat mereka.

"Saya jelaskan pada pimpinan PH mengenai apa yang berlaku sepanjang konflik tempoh hari pada rapat umum bersama pimpinan semalam.

"Apa juga yang berlaku, pasukan ini akan terus kekal bersama dan membina kekuatan.

"Jangan kita biarkan episod pengkhianatan demokrasi ini berlaku lagi. Jika ada lagi pimpinan seperti ini, dipersilakan keluar," katanya di Facebooknya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR dakwa Muhyiddin, Azmin 'musuh dalam selimut'

Anwar yang juga Ketua Umum PH turut mengajak semua pihak supaya tidak mengalah dan sanggup mengorbankan prinsip perjuangan hanya disebabkan episod pengkhianatan demokrasi yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Anwar mempersoalkan keperluan pihak yang terus mengkritiknya, dipercayai ditujukan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika mengimbau kembali keruntuhan kerajaan PH dan perkara berlaku selepas itu pada satu majlis di rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur semalam.

Kelmarin, media melaporkan Dr Mahathir sebagai berkata, Anwar mencadangkan dirinya sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Dr Mahathir yang kembali menyertai PH, berjaya membentuk kerajaan baru.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan beliau menolak cadangan Anwar dan mahu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kembali menjadi timbalannya.

Pada 24 Februari, tindakan Dr Mahathir meletak jawatan diikuti keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar PH menyebabkan kerajaan pakatan itu tumbang selepas mentadbir negara selama 22 bulan.

1 Mac lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerima sokongan parti dalam Perikatan Nasional akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan untuk kerajaan baharu.