Penyokong parti diminta terus kekal matang: Polis

Razarudin
Razarudin
A
A
A

IPOH - Penyokong parti politik diminta terus kekal matang dengan mengawal emosi dan mematuhi undang-undang ekoran perubahan kerajaan yang menyaksikan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak beralih sokongan semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya melihat keamanan yang diperolehi kini kerana peluang yang diberikan masyarakat dan ahli politik menjadikan proses demokrasi berjalan baik.

"Kita minta supaya penyokong mengawal perasaan mereka dan mengikut undang-undang, tidak melebihi atau menentukan bahawa ruang lingkup mereka adalah di bawah undang-undang yang berkuatkuasa sekarang.

"Bagaimanapun, daripada mula hingga hari ini, masyarakat sangat cerdik berkenaan isu politik, tiada kekecohan ataupun kekacauan berlaku. Ini satu pencapaian masyarakat dan ahli politik di Perak yang kita lihat tidak mendatangkan apa-apa provokasi.

"Kami sebagai pasukan yang menentukan keselamatan dan juga lalu lintas di Perak ini dalam keadaan yang aman, sangat berterima kasih pada semua," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Faizal letak jawatan MB Perak

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat kepada 321 Pegawai Rendah Polis PDRM Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Ditanya mengenai permohonan permit untuk adakan perhimpunan, Razarudin mengesahkan tiada permohonan diterima setakat ini.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini tiada apa-apa permohonan untuk mengadakan perhimpunan namun, kita pantau di semua daerah," katanya.