X

Kindly register in order to view this article
!

Amankah Negeri Sembilan?

Menteri Besar semasa persidangan Dewan Undangan Negeri lalu.
A
A

KETIKA kerajaan Pusat bergolak, beberapa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan berkubur sehingga terbentuknya kerajaan pemerintah yang baharu, namun di Negeri Sembilan sehingga kini ia masih lagi berada dalam keadaan aman.

Tiada sebarang pergolakan mahupun kekacauan berlaku di peringkat kerajaan negeri, malah semuanya berjalan lancar seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Bagaimanapun, di sebalik tenangnya suasana di negeri beradat itu terdengar juga suara-suara sumbang yang cuba mengeruhkan keadaan apabila mengaitkan ‘team Azmin’ yang ada di negeri itu akan melompat parti sekali gus menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Hakikatnya, sehingga kini Negeri Sembilan masih lagi ditadbir PH biarpun ada desas-desus yang mengatakan akan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan meninggalkan Pakatan Harapan.

Malah Menteri Besar merangkap Pengerusi PH Negeri Sembilan, mempunyai keyakinan penuh terhadap kewibawaan semua wakil rakyat PH, di mana mereka akan taat setia serta tidak sesekali mengkhianati rakyat melalui kemenangan yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Terima kasih kepada rakan-rakan ADUN dan Exco yang terus beri kepercayaan kepada kerajaan negeri supaya terus stabil.

“Terima kasih juga atas doa rakyat di negeri ini yang mahu melihat kestabilan dan kita sebagai kerajaan negeri akan terus menjalankan tugas dengan baik dan yakin mampu bangunkan negeri ini meskipun dalam suasana tidak menentu hari ini,” katanya.

Bezanya Negeri Sembilan sekarang ini menjadi sebuah negeri pembangkang dan berkemungkinan banyak peruntukan akan disekat sama dengan apa yang berlaku kepada negeri pembangkang lain, malah sering dianggap sebagai ‘anak tiri’ kepada kerajaan Pusat.

Bagaimana dengan projek-projek mega seperti Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), pembinaan projek jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan laluan di Jelebu dan Nilai yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini, adakah ia akan diteruskan atau sebaliknya?

Biarpun menjadi negeri pembangkang, rakyat tidak lagi peduli, asalkan kepentingan serta kebajikan rakyat dapat dipelihara dengan baik.

Apa yang baik untuk rakyat diharap dapat diteruskan. Mana-mana projek pembangunan yang boleh membawa kepada perkembangan serta mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara perlu dilaksanakan seperti dirancang.

Perubahan politik negara diharap tidak memberi kesan kepada pembangunan masyarakat. Biarlah mereka ‘berperang’ sesama sendiri, asalkan kepentingan rakyat tidak diabaikan.

Teruskanlah berusaha untuk menjaga kepentingan rakyat kerana rakyatlah penentu segalanya. Siapapun yang memerintah atau yang mentadbir Negeri Sembilan, kunci utama yang perlu dijaga dengan rapi sudah tentu hati rakyat.

Anda naik disebabkan undi rakyat, anda turun juga adalah disebabkan suara rakyat. Jika elok dijaga, elok jugalah nanti hasilnya.

Rakyat bukannya mahu minta berlebih-lebih, namun cukuplah sekadar memenuhi segala janji yang ditawarkan melalui manifesto, janji perlu ditepati bukan dimungkiri.

Apa yang berlaku dalam dunia politik tanah air sekarang ini memang tidak boleh dijangka, hari ini mungkin kita selamat tetapi esok lusa belum pasti.

Jadi, sebelum berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini dengan pentadbiran kerajaan negeri yang ada sekarang ini, langkah awal perlu diambil. Strategi perlu disusun ibarat kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Sedangkan laut selalu berubah, inikan pula hati manusia. Sama-samalah kita berdoa agar semuanya sentiasa dilindungi rahmat-NYA dan dikurniakan pemimpin yang berwibawa dan mampu melindungi rakyat di bawah kebijaksanaan mereka.

* Sarinah Mat Kasim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Melaka dan Negeri Sembilan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus