Perkhidmatan awam di Malaysia

No Image Caption
A
A
A

KERAJAAN di bawah pimpinan Perdana Menteri harus mengiktiraf peranan penting yang dimainkan penjawat awam sebagai sebahagian daripada cabang penting dalam pentadbiran negara.

Malah dalam pelbagai perkara, penjawat awam merupakan enjin dan faktor yang memastikan kelancaran urusan kerajaan meskipun ahli eksekutif dan ahli legislatif tidak dapat atau gagal ‘berfungsi’ pada satu-satu masa.

Kebanyakan penjawat awam sememangnya cintakan negara dan terus setia berbakti serta mendukung kerajaan yang memerintah biarpun kerajaan bertukar ganti. Dengan kata lain, penjawat awam adalah ‘non-partisan’ - tidak cenderung dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

Sikap sedemikianlah yang memungkinkan penjawat awam untuk bertindak sebagai teknokrat yang profesional dalam meningkatkan prestasi kerajaan dan mengharumkan nama negara tercinta ini di persada dunia.

Sikap itu jugalah yang akan membolehkan penjawat awam menjalinkan hubungan yang akrab dengan semua pihak dalam ketiga-tiga cabang pemerintahan iaitu legislatif, kehakiman dan eksekutif.

Penjawat kerajaan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dan pada bila-bila masa, aktif dalam memberikan saranan dan pandangan kepada pemimpin eksekutif kerajaan agar mereka sentiasa berada di landasan yang betul. Salah satu contoh adalah peranan penjawat awam Kementerian Kesihatan yang diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang begitu giat berusaha menangani krisis Covid-19.

Pada tahun 2017, jumlah penjawat awam yang berkhidmat dianggarkan sekitar 500,000 orang, iaitu kira-kira 1.6 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia. Ini tidak termasuk pasukan polis, tentera, Rela, Kemas, guru-guru dan doktor, jururawat dan perawat di pusat kesihatan seluruh negara.

Bajet sebanyak RM74 bilion setahun untuk penjawat awam dalam perkhidmatan dan pencen sebanyak RM19 bilion setahun dalam tahun 2017 merupakan peruntukan kerajaan yang amat besar.

Ini ditambah dengan pelbagai latihan yang disediakan untuk meningkatkan kemahiran setiap penjawat awam, sama ada di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) mahupun latihan dalam negeri dan luar negara. Ini merupakan pelaburan besar yang kerajaan peruntukkan untuk meningkatkan keupayaan modal insan dalam kalangan penjawat awam di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Perbelanjaan operasi terhadap penjawat awam yang merupakan 26 peratus daripada keseluruhan bajet negara meminta keprihatinan daripada semua penjawat awam untuk mereka memainkan peranan yang efisien dan efektif dalam melicinkan pentadbiran kerajaan dan meningkatkan produktiviti negara. Inilah sahaja pulangan berbaloi kepada semua yang menyumbang kepada hasil pendapatan negara, terutama pembayar cukai.

Hubungan

Hubungan dan komunikasi antara penjawat awam dengan barisan eksekutif Kabinet mestilah lancar dan sentiasa aktif untuk menjamin kelancaran cabang eksekutif dan legislatif ini dalam melaksanakan tanggungjawab.

Diakui bahawa ramai mantan ahli Kabinet, menteri, timbalan menteri dan setiausaha yang dilantik adalah muka-muka baharu dan kurang kecekapan dalam urusan mentadbir negara. Sudah pasti ia turut mengambil masa untuk mendedahkan mereka dengan selok-belok dan kemahiran mentadbir kerajaan.

Biarpun kerajaan bertukar setiap lima tahun (atau kurang), biarpun ahli politik, eksekutif dan legislatif silih berganti, namun kesetiaan penjawat awam tidak harus berubah. Prestasi perkhidmatan awam haruslah sentiasa dipertingkatkan kerana tunjang kepada segalanya adalah kepada rakyat dan negara.

Rakyat semestinya tidak mahu Malaysia menjadi negara yang gagal. Jika ketidakstabilan politik yang kita perhatikan hari ini berterusan dan tidak dilakukan pembaharuan secepat mungkin, maka tidak mustahil untuk kita dihadapkan dengan kegagalan dan kehancuran. Dan apabila itu berlaku, negara akan musnah, perkhidmatan awam, penjawat awam dan rakyat terutamanya akan mendapat tempiasnya.

Suasana dan persekitaran yang sentiasa berubah akan melihat penjawat awam harus bekerja dengan pemuka-pemuka baharu yang belum cukup kemahiran dalam mentadbir, tetapi jangan kita remehkan fakta bahawa penjawat awam yang ada hari ini untuk meneruskan kerjasama yang baik dengan barisan eksekutif yang ada demi melahirkan Malaysia yang lebih baik dan disegani.

* Dr Helmy Haja Mydin ialah doktor perubatan yang meminati bidang sosioekonomi