An-Nisa’ bela kemajuan masyarakat

No Image Caption
A
A
A

"WAHAI manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu dan ALLAH yang menciptakan pasangannya daripada dirinya, dan daripada keduanya ALLAH membiakkan lelaki dan perempuan yang ramai.” (Surah An-Nisa’, ayat 1)

Dalam ayat ini, ALLAH SWT berfirman bahawa seluruh umat bersifat dan bertaraf sama, bahawa semua manusia, penganut Islam dan yang bukan Islam, yang putih dan yang bukan putih, yang Arab dan juga yang lain mempunyai asal usul yang sama. Dengan cukup jelas sekali, ALLAH SWT berfirman kepada seluruh umat insan ‘Wahai manusia’, bukanlah ‘Wahai orang beriman’ yang mencerminkan nilai sejagat surah ini.

Surah Al-Baqarah yang merupakan surah pertama dalam kitab suci kita, al-Quran, menerangkan jalan yang betul yang patut kita ikuti. Surah kedua al-Imran menekankan kegigihan semasa mengikuti jalan makruf.

Surah An-Nisa’ pula membawa utusan utama tentang keadilan sosial dan rahmat, terutamanya terhadap golongan yang mudah dianiayai, diperas dan ditindas yang perlu diberi perhatian. Melalui surah itu, ALLAH SWT menjelaskan hak umat insan, terutamanya bagi golongan tersisih, tertindas, anak yatim, hamba abdi, golongan minoriti bukan Islam, orang kurang upaya dan lain-lain.

Dengan hikmah yang hanya ada pada-Nya, ALLAH SWT menamakan surah itu surah An-Nisa’ (wanita) yang mengingatkan umat manusia bahawa ketidakadilan atau kezaliman terhadap wanita seolah-olah merumuskan segala jenis zulm. Maka, kata An-Nisa’ itu merangkumi semua golongan yang tertindas, bukan hanya kaum wanita.

Surah An-Nisa’ bermula dengan senarai hak anak yatim:

“Berikan kepada anak-anak yatim itu harta mereka.” (Surah An-Nisa’, ayat 2)

Hak mereka yang lemah dan tidak berupaya:

Artikel Berkaitan:

“Berikanlah mereka belanja dan pakaian (daripada harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.” (Surah An-Nisa’, ayat 5)

Kali pertama dalam sejarah manusia, hak pusaka wanita diperkenalkan:

“Bagi perempuan ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak menurut harta yang telah ditetapkan.” (Surah An-Nisa’, ayat 7)

Hak wanita:

“Tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyulitkan mereka kerana ingin mengambil sebahagian daripada apa yang telah kamu berikan kepada mereka kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan pergaulilah mereka dengan cara yang baik.” (Surah An-Nisa’, ayat 19)

ALLAH SWT bukan hanya menegaskan hak mereka dari segi keperluan jasmani, tetapi juga dari segi martabat dan kehormatan yang seharusnya mereka nikmati:

“Anak-anak yatim serta orang miskin, maka berikanlah mereka daripada harta itu dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.” (Surah An-Nisa’, ayat 8)

Hak ibu bapa, keluarga, jiran dan para musafir:

“Berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, rakan sejawat, orang musafir dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan takbur.” (Surah An-Nisa’, ayat 36)

Keadilan ditekankan berkali-kali sepanjang surah itu dengan merujuk kepada keadaan serta hubungan dengan manusia yang lainnya:

“Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia hendaklah kamu menghukumnya dengan adil.” (Surah An-Nisa’, ayat 58)

Hak minoriti ditekankan; misalnya, apabila beberapa orang Islam merayu kepada Rasulullah SAW supaya bertindak secara tidak adil terhadap seorang Yahudi, ALLAH SWT berfirman:

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Kitab al-Quran dengan membawa kebenaran, supaya menghukum di antara manusia menurut apa yang ALLAH telah tunjukkan kepadamu dan janganlah engkau menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana membela orang-orang yang khianat.” (Surah An-Nisa’, ayat 105)

Hak berhijrah:

Di Malaysia, kita sering berbahas apakah pekerja asing dan pelarian (tidak kira sama ada mengikut undang-undang atau tidak) patut menggunakan kemudahan kesihatan atau pendidikan. Ramai pendatang yang berada di sini sebenarnya sedang menurut apa yang ALLAH SWT firmankan iaitu berhijrah kerana menghadapi kezaliman:

“Para malaikat bertanya, ‘bagaimana keadaan kamu ini?’ Mereka menjawab, ‘Kami golongan yang tertindas’ (di Makkah). Malaikat bertanya lagi: ‘bukankah bumi ALLAH itu luas sehingga kamu boleh pindah di bumi itu?’” (Surah An-Nisa’, ayat 97)

Kita sepatutnya bermurah hati dan menghulurkan perlindungan serta memberikan hak seperti apa yang ALLAH SWT perintahkan.

Malangnya, terdapat banyak pandangan tentang soal hak asasi manusia di Malaysia yang dikatakan pendirian Islam sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam, terutamanya yang diperintahkan ALLAH SWT.

Sebenarnya, Surah An-Nisa’ menyampaikan “kata-kata yang memberikan kesan kepada hati mereka” (Surah An-Nisa’, ayat 63) yang merupakan asas hak asasi kini, yang patut diteliti dengan hati terbuka, malah ditegakkan dan diamalkan supaya kita dapat mencapai apa yang diperintahkan-Nya.

Inilah ruang bersama supaya setiap bangsa, suku atau kaum dapat mendekati satu sama lain seperti Hizb al-Fodoul (Perjanjian Mulia), iaitu suatu perjanjian zaman jahiliah untuk melindungi mereka yang lemah. Rasulullah SAW sanggup menerima, menunaikan, menguatkuasakan dan melaksanakan perjanjian itu walaupun antara orang bukan Islam.

ALLAH SWT pernah berfirman, ‘Ibrahim adalah suatu umat/bangsa’. Apakah seseorang manusia, walaupun Nabi, boleh dikatakan sama dengan suatu bangsa? Tidak dapat dinafikan bahawa Nabi Ibrahim AS merupakan seorang Nabi yang patut dicontohi. Ayat itu bererti amalan seseorang boleh mewakili suatu bangsa.

Tetapi sebaliknya pula, bak pepatah Melayu, ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Dan apabila sesuatu yang salah dilakukan atas nama Islam, para Muslimin patut mengutuk amalan jahat, a’ml ghairu Saleh, yang pernah ALLAH SWT gunakan ketika mengutuk salah seorang anak lelaki Nabi Nuh AS yang melakukan kesalahan ketika menentang ayahnya. Maka, ALLAH SWT berfirman:

“Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi kerana ALLAH biarpun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu... Maka janganlah kamu turutkan hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan kata-kata ataupun enggan menjadi saksi, maka ketahuilah ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah An-Nisa’, ayat 135)

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Kitab al-Quran dengan membawa kebenaran.”

* Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram ialah pakar ekonomi dan Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI). Petikan dari Kata Pengantar buku Inteligensia Penyuluh Nusantara suntingan Mohd Rashidi