Beberapa kementerian khusus diwujudkan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kabinet baharu yang dibentuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyaksikan pewujudan beberapa kementerian khusus selain ada yang melalui penstrukturan semula bagi memenuhi keperluan semasa.

Ia mencerminkan tumpuan yang bakal diberikan pentadbiran kerajaan baharu pimpinan beliau kepada hal seperti pendidikan, perpaduan, alam sekitar, hal berkaitan Sabah dan Sarawak dan sebagainya.

Antara lain, Muhyiddin mengambil keputusan mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di samping mengekal dan memperkasa Kementerian Pendidikan.

Melalui penstrukturan semula itu, KPT akan dapat memberi fokus kepada sektor pengajian tinggi manakala Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan kepada pendidikan prasekolah, rendah dan menengah.

Muhyiddin, yang mengumumkan barisan jemaah menteri baharunya di Putrajaya, menamakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi manakala Dr Mohd Radzi Jidin dipilih menjadi Menteri Kanan merangkap Menteri Pendidikan.

Dalam pada itu, Muhyiddin bertindak menubuhkan kementerian khusus iaitu Kementerian Perpaduan Negara di sebalik kesedaran bahawa perpaduan utuh antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia merupakan penentu kelangsungan atau survival negara ini.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique dilantik untuk mengemudi kementerian itu.

Satu lagi kementerian khusus yang ditubuhkan ialah Kementerian Alam Sekitar dengan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dinamakan sebagai menteri bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Ia diwujudkan dengan menyedari bahawa aspek kelestarian alam sekitar adalah penting ke arah mewujudkan kehidupan lebih sejahtera untuk semua.

Selain itu, Muhyiddin turut mewujudkan portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang diterajui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.

Ia menandakan keseriusan kerajaan dalam menangani isu-isu pembangunan dan kemajuan sosioekonomi rakyat di kedua-dua negeri itu.

Ia juga bagi memastikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA 63 diterjemah dalam bentuk dasar dan program yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di negeri Sabah dan Sarawak.-Bernama