Parti politik ke transpolitik

A
A
A

DR Maszlee Malik telah membuktikan komitmen yang kuat dalam memperjuangkan tajdid pendidikan dan bahasa Melayu dan jawi. Beliau sendiri fasih bahasa Arab dan Inggeris.

Negara bangga melihat beliau menyampaikan syarahan dalam bahasa Arab dan Inggeris. Menteri Pendidikan sepatutnya multilingual untuk menyahut cabaran globalisasi.

Hanya golongan ekstremis liberalisme tidak sukakan beliau sehingga mengaitkan usaha beliau dengan isu kasut sahaja untuk ketepikan usaha-usaha tajdid beliau yang bersifat menyeluruh dan membina umat. Bahkan seorang YB UMNO pun memuji usaha beliau semasa Parlimen bersidang.

Kita perlu bergerak ke arah budaya transpolitik iaitu budaya politik yang tidak memberhalakan parti. Pelantikan Probowo sebagai Menteri Pertahanan Indonesia oleh Presiden Jokowi adalah contoh transpolitik.

Sistem demokrasi yang berasaskan kepartian sebenarnya adalah fahaman liberalisme yang dipaksakan ke atas kita oleh kolonialisme.

Kalau benar Perikatan Nasional menentang liberalisme, maka sepatutnya ia tidak memberhalakan sistem kepartian ini. Ia patut menyokong sebuah Kabinet yang terdiri daripada menteri-menteri yang paling layak walaupun daripada PH sekalipun.

Ia patut utamakan maslahat rakyat atas periuk nasi parti. Parti hanyalah alat untuk berkhidmat untuk manusia, bukan matlamat terakhir berpolitik. Adakah kita sanggup menghalalkan apa cara sekalipun demi mengutamakan periuk nasi parti?

Fahaman liberal kepartian adalah fahaman yang berlandaskan prinsip matlamat menghalalkan cara. Kalau saya berparti Z, saya tetap hanya akan menghalalkan apa saja tindakan parti Z demi mencapai matlamat teragung iaitu hanya ahli parti Z layak pegang kuasa politik!

Artikel Berkaitan:

Inilah sebab sains politik moden adalah ditakrifkan sebagai satu kajian tentang kuasa. Politik liberal hanya berminat tentang kuasa. Parti adalah ditubuhkan untuk memperkasakan asabiyah satu qabilah yang bernama ‘parti’ yang terlibat dalam pertarungan merebut kuasa dengan qabilah lain.

Bila satu parti menang, ia akan cuba mencari alasan untuk membuktikan bahawa hanya ahlinya yang paling layak, paling kompeten, paling hebat berbanding dengan parti lawan.

KabilahParti adalah kabilah zaman moden. Ultra asabiyah klasik adalah berdasarkan taksub kepada kabilah. Ultra asabiyah moden adalah berdasarkan taksub kepada parti. Perbezaannya ialah ultra asabiyah klasik mengikat ahlinya dengan hubungan darah tetapi ultra asabiyah moden mengikat ahlinya dengan kuasa.

Liberalisme mengikat wacana kepartian dengan kuasa. Kuasa adalah matlamat terakhir. Mula-mula memberhalakan parti untuk mendapat kuasa.

Tetapi bila sudah dapat kuasa, maka parti akan diketepikan dan kuasa diberhalakan pula. Bila kuasa tergugat, keimanan pada parti mula goncang. Maka berlakulah 'game' pengkhianatan dan 'game' pintu belakang.

Budaya memberhalakan parti ini adalah umpama budaya memberhalakan ‘tuhan’. Mula-mula penyembah setia memberhalakan satu ‘tuhan’ dengan harapan bahawa ‘tuhan’ ini berkuasa menunaikan hajatnya.

Tetapi bila hajatnya tidak ditunaikan, maka penyembah pun mengkhianati ‘tuhan’ ini. Dia beralih memberhalakan ‘tuhan’ lain pula yang dia rasa lebih berkuasa untuk menunaikan hajatnya.

Budaya memberhalakan parti dan ‘tuhan’ adalah sebenarnya berasal daripada sifat yang tidak rasional dan nafsu tamakkan kuasa.

Bila sesuatu parti mampu memenuhi nafsunya dan memberinya kuasa, dia sanggup tukar berhala tetapi tetap mengamalkan sifat memberhalakan sebuah parti. Ini adalah kerana parti adalah zon selamatnya, payungnya dan tempurungnya.

Nabi SAW berjaya ketepikan kabilah, asabiyah, ketuanan dan menggantikannya dengan konsep ummah yang bersifat transpolitik. Sejauh manakah umat Islam di Malaysia benar-benar cinta pada Sunnah Nabi SAW?

* Xifu Naser ialah pensyarah Pemikiran Kritis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)