'Saya mahu sebarkan Covid-19'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TOKYO - Seorang lelaki di Jepun dengan selamba menyebarkan koronavirus (Covid-19) selepas dirinya disahkan positif virus tersebut walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.

Individu berusia dalam lingkungan 50-an tersebut memperoleh keputusan itu selepas menjalani pemeriksaan di sebuah hospital di bandar Gamagori pada Rabu lalu dan dipercayai dijangkiti daripada ibu bapanya.

Dia turut diminta menunggu di rumah sehingga ada kekosongan di pusat kemudahan kesihatan untuk merawatnya.

Fuji News Network (FNN) melaporkan lelaki itu bagaimanapun berkunjung ke dua bar selepas memberitahu keluarganya, 'Saya mahu sebarkan virus tersebut'.

"Dia menaiki teksi ke sebuah bar dan berjalan kaki ke sebuah bar Filipina tidak lama kemudian. Lelaki tersebut tanpa rasa bersalah memberitahu pelanggan dia dijangkiti Covid-19 selepas selesai makan dan memesan beberapa minuman," lapor media tempatan.

Susulan itu, perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Polis lengkap dengan sut keselamatan bergegas ke bar kedua, namun lelaki tersebut telah pulang ke rumah dengan menaiki teksi.

Difahamkan, dia telah dihantar ke pusat rawatan pada keesokan harinya.

Artikel Berkaitan:

Langkah pensterilan dan nyahjangkit turut dilakukan di kedua-dua bar yang dikunjungi oleh lelaki itu.

Tindakan tidak bertanggungjawab lelaki itu telah menyebabkan beberapa pekerja dan pelanggan didiagnos positif Covid-19.

Datuk Bandar, Toshiaki Suzuki turut memohon maaf dan menyuarakan rasa kesal kerana individu itu melanggar arahan supaya tidak keluar dari rumah.

Sehingga kini, Jepun telah merekodkan lebih 1,000 jangkitan Covid-19 dan majoriti daripada kes itu melibatkan penumpang kapal persiaran, Diamond Princess yang dikuarantin selama dua minggu di pelabuhan Yokohama. - Agensi