Kes jangkitan Covid-19 semakin menurun di China

Kakitangan perubatan meraikan ‘kejayaan’ mereka selepas kesemua pesakit dibenarkan keluar dari hospital sementara di Wuhan, wilayah Hubei hari ini. - Foto AFP
Kakitangan perubatan meraikan ‘kejayaan’ mereka selepas kesemua pesakit dibenarkan keluar dari hospital sementara di Wuhan, wilayah Hubei hari ini. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - China telah menutup sebahagian besar hospital sementara yang digunakan untuk merawat pesakit koronavirus (Covid-19) selepas jumlah jangkitan virus itu semakin menurun di negara tersebut.

Agensi berita Xinhua melaporkan 11 daripada 16 stadium dan sekolah yang dijadikan pusat rawatan sementara telah ditutup sejak semalam.

“Dua hospital sementara yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan hampir 2,000 pesakit dalam satu masa juga telah menghentikan operasi selepas kumpulan terakhir terdiri daripada 61 pesakit dibenarkan keluar,” lapor Xinhua lagi.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) hari ini memaklumkan terdapat 40 kes jangkitan baharu dilaporkan dan angka itu adalah paling rendah sejak data dikumpulkan pada Januari lalu.

“Kebanyakan kes baharu itu termasuk 22 kematian berlaku di Hubei yang merupakan pusat wabak tersebut,” jelas NHC dalam satu kenyataan.

Di Wuhan, hampir 31,000 pesakit dilaporkan telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.

Selain itu, 3,119 kematian direkodkan manakala lebih 80,700 kes jangkitan dicatatkan di seluruh negara.

Minggu lalu, pegawai kanan kerajaan memaklumkan China mungkin akan menarik balik perintah kuarantin yang dikuatkuasakan di wilayah Hubei yang mempunyai populasi kira-kira 56 juta penduduk pada akhir Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, kes jangkitan terbaru di luar Hubei hanya melibatkan kes jangkitan diimport yang turut mencetuskan kebimbangan terhadap usaha negara itu untuk membendung penularan epidemik tersebut.

Pihak berkuasa kini mengenakan langkah kuarantin terhadap mereka yang pulang dari negara luar yang terjejas akibat Covid-19.

Di Korea Selatan, negara yang mencatatkan kes jangkitan tertinggi virus itu di luar China turut mengesahkan angka kes jangkitan harian telah menyaksikan penurunan dalam tempoh dua minggu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) di Seoul memaklumkan sebanyak 248 kes jangkitan baharu dilaporkan semalam dan ia adalah paling rendah sejak akhir Februari lalu. - Agensi