Tuan Ibrahim, dari ulama dihormati ke Kabinet

Tuan Ibrahim. Foto: Rosli Talib
Tuan Ibrahim. Foto: Rosli Talib
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam arena politik tanah air.

Ahli Parlimen Kubang Kerian yang dilahirkan pada 27 Ogos 1960 di Kampung Batu Balai, Jerantut, Pahang, itu mula bergiat aktif dalam politik apabila bertanding Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka dan berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zainal Hassan.

Bekas penasihat Pusat Pungutan Zakat Pahang itu dilantik sebagai Timbalan Presiden Pas pada sesi 2019-2021 dan juga memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Pas Pahang sejak 2004 sehingga sekarang.

Pada PRU14, Ahli Majlis Syura Ulama Pas itu bertanding bagi kerusi Parlimen Kubang Kerian dan menewaskan calon BN, Datuk Seri Muhammad Abd Ghani dan Datuk Dr Abdul Halim Yusof (Pakatan Harapan).

Tuan Ibrahim yang berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Jabatan dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana Dakwah dan Kepimpinan di UKM pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis dan bertugas sebagai pensyarah kanan selama 14 tahun di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Pahang dan Manjong, Perak. - Bernama

Artikel Berkaitan: