Annuar Musa dilantik Menteri Wilayah Persekutuan

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Berbekalkan pengalaman luas dalam dunia politik dan hampir sepuluh tahun pernah berkhidmat dalam pentadbiran Kabinet kerajaan Pusat, Tan Sri Annuar Musa bukan nama asing di tanah air.

Hampir tiga dekad dalam dunia politik, Annuar Musa juga pernah memegang dua jawatan menteri iaitu di Kementerian Belia dan Sukan pada 1990-1993 dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (1993-1999).

Ahli Parlimen Ketereh itu juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peringat dan ADUN Kok Lanas dan Ahli Parlimen Peringat.

Annuar, 63, merupakan lulusan ijazah Sarjana dalam Pengurusan Pembinaan daripada University College of London serta ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau mula berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 1981 selama setahun dan Pengarah Bahagian Perancang Korporat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan bagi tempoh yang sama bermula 1985.

Selain itu, beliau turut memegang jawatan Pengerusi Fama (1989-1990) dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi tempoh 2005 hingga Mei 2013.

Annuar turut dilantik Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 2013-2015 dan dilantik semula pada 2015 sehingga 31 Jan 2017.

Turut dikenali dengan kelantangannya dalam arena bola sepak tanah air, Annuar pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada tahun 2007 dan mewarnai kegemilangan pasukan yang dikenali 'The Red Warriors' itu dalam saingan bola sepak tanah air.

Artikel Berkaitan:

Annuar melakukan pelbagai usaha untuk memajukan bola sepak Kelantan terutamanya membantu pasukan mencapai kegemilangan dengan merangkul kejuaraan ‘treble’ iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012.

Selain itu beliau pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk penggal 2010-2014.

Berikut adalah biografi Annuar:

Nama: Tan Sri Annuar Musa

Tarikh Lahir: 18 Mei 1956

Tempat Lahir: Bukit Marak, Bachok, Kelantan

Isteri: Puan Sri Rosniah Abdul Rahman

PENDIDIKAN:

Maktab Tentera Diraja (RMC), Sungai Besi, Kuala Lumpur (1973-1974)

Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (1975-1980)

Ijazah Sarjana Pengurusan Pembinaan, University College, London (1983-984)

POLITIK:

Setiausaha Agung UMNO (kini)

Ahli Parlimen Ketereh (kini)

KARIER:

Menteri Belia dan Sukan (1990-1993)

Menteri Pembangunan Luar Bandar (1993-1999)

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) (2013-2015)

Dilantik semula Pengerusi MARA (2015-31 Jan 2017)

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (2005 hingga Mei 2013)

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) (1990) - Bernama