X

Kindly register in order to view this article
!

Perbicaraan MH17 bermula

Empat individu yang akan dibicarakan itu terdiri daripada tiga warganegara Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky, Oleg Pulatov dan seorang warganegara Ukraine Leonid Kharchenko. - Foto: AFP
A
A

AMSTERDAM - Ahli keluarga mangsa penerbangan MH17 dan media berkumpul di Mahkamah Daerah The Hague di Kompleks Kehakiman Schiphol (JCS) di sini bagi mengikuti perbicaraan jenayah empat lelaki yang dituduh menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines itu yang bermula jam 10 pagi (5 petang waktu Malaysia).

Turut dilihat di luar kompleks mahkamah berkenaan adalah peguam yang mewakili ahli keluarga dan wakil beberapa negara.

Sementara itu, beratus-ratus anggota media tempatan dan antarabangsa ditempatkan di Pusat Media di sebuah bangunan berdekatan dengan kompleks mahkamah yang mempunyai kawalan keselamatan ketat.

Empat individu yang akan dibicarakan itu terdiri daripada tiga warganegara Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky, Oleg Pulatov dan seorang warganegara Ukraine Leonid Kharchenko.

Mereka menghadapi tuduhan menyebabkan penerbangan MH17 terhempas mengakibatkan kematian semua orang di dalam pesawat itu yang boleh dihukum mengikut Perkara 168 Kanun Jenayah Belanda dan membunuh 298 orang di dalam pesawat, yang boleh dikenakan hukuman menurut Perkara 289 Kanun Jenayah Belanda.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara 30 tahun tanpa parol atau peluang untuk dilepaskan lebih awal.

Menurut laporan, penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas ditembak dengan peluru berpandu anti-pesawat BUK semasa berada di ruang udara kawasan konflik timur Ukraine.

Kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang terdiri daripada 43 rakyat Malaysia, 193 rakyat Belanda dan 27 rakyat Australia terbunuh.

Tiga hakim akan mendengar prosiding itu dengan dua hakim lain bertindak sebagai hakim simpanan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus