X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia catat 18 kes baharu Covid-19, jumlah 117 kes

Pemeriksaan yang ketat perlu dilakukan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 18 kes baharu Covid-19 dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 117 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Satu daripada kes baharu iaitu kes 101 melibatkan seorang lelaki yang baru pulang dari Iran.

“Kes bersama dengan rakan perniagaan beliau telah ke Iran pada 20 Februari sehingga 27 Februari 2020. Kes telah dikesan bergejala pada 5 Mac 2020 dan disahkan positif Covid-19 pada 8 Mac 2020.

“Kini, kes telah dirawat dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kontak-kontak rapat bagi 18 kes baharu sedang dikenal pasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya.

Beliau berkata, daripada 117 kes positif di Malaysia kini, 19 kes dikesan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan Covid-19, 96 kes daripada kalangan kontak rapat dan dua kes lagi melibatkan individu Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Membawa Pulang Rakyat Malaysia dari Wuhan, China.

“Dua kes yang dilaporkan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam masih berada di unit sama dan memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada pesakit yang berada di ICU adalah kritikal atau sebaliknya, Dr Noor Hisham berkata dua kes positif yang dirawat di ICU adalah di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Aminah.

Malaysia kini berada dalam gelombang kedua Covid-19 sejak 27 Februari, dengan indeks kes 23 hingga 117, hanya enam kes yang dilaporkan melibatkan kalangan PUI dan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

“Kes-kes lain pula melibatkan kluster yang terdiri daripada kontak-kontak rapat dan mempunyai perkaitan antara sama lain,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan telah menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes terpencil atau sporadik di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif Covid-19.

Sehingga 9 Mac, sebanyak 574 sampel telah diuji melibatkan 136 pesakit SARI dan 438 (ILI), yang setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan Covid-19.

“Berdasarkan maklumat semasa, buat masa ini tiada kes sporadik Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini,” kata Dr Noor Hisham.

Mengulangi nasihat agar orang awam sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan sekiranya bergejala mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat awam, beliau berkata, dua kaedah mudah itu terbukti mampu mengurangkan penularan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh titisan sekresi pernafasan dalam kalangan komuniti.

“Kaedah ini merupakan satu kaedah yang digunakan oleh China semasa menghadapi wabak Covid-19 dan ia merupakan satu penyumbang pengurangan kes Covid-19 di China,” kata Dr Noor Hisham.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia juga sedang memantau penularan kes Covid-19 di Amerika Syarikat, Perancis, Switzerland dan Sepanyol. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!