Khalid harap pembangunan Kampong Bharu diteruskan

Khalid Samad - Foto Bernama
Khalid Samad - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berharap menteri baharu yang akan menyandang jawatan itu tidak membatalkan 12 pelan pembangunan Wilayah Persekutuan yang dirancang sepanjang tahun ini.

Khalid berkata, perancangan tersebut termasuk Pelan Pembangunan Kampong Bharu memandangkan lebih 60 peratus daripada 5,374 pemilik bersetuju untuk menjual tanah mereka.

Menurutnya, persetujuan itu melibatkan keluasan tanah seluas kira-kira 32.3 hektar daripada jumlah keseluruhan 60.7 hektar di kampung berkenaan.

“Jumlah ini kita dapat setakat perjumpaan terakhir dijalankan dengan pihak Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) pada pertengahan Februari lepas.

“Harapan saya, ianya dapat diteruskan di bawah menteri yang baharu. Ini bukan soal menetapkan legasi tetapi pekerjaan yang wajib dilakukan demi masa depan negara,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam di sini hari ini.

Khalid berkata, pelan pembangunan lain yang dirancang antaranya Bandar Pintar, Malaysia Negara Taman Terindah, Pembangunan Kuala Lumpur, Pembangunan Putrajaya dan Labuan, Skim Mikro Kredit serta penyelesaian persempadanan Selangor/Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: