ADUN Lendu sah Ketua Menteri Melaka

Sulaiman menandatangani Surat Sumpah Rahsia selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 hari ini.
Sulaiman menandatangani Surat Sumpah Rahsia selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Teka-teki mengenai Ketua Menteri Melaka akhirnya terjawab apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah jawatan tersebut di Dewan Seri Utama Pejabat Yang Dipertua Negeri di Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau yang hadir dengan memakai baju Melayu hitam dan mengenakan kain samping songket mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-12 di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Upacara istiadat pada kira-kira jam 3.45 petang tadi disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir menyaksikan istiadat itu ialah ADUN Pengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Rembia dari PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Paya Rumput dari Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.
Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Sulaiman, 55, yang juga anak kelahiran Durian Daun, Masjid Tanah merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Masjid Tanah dan pernah dilantik sebagai Timbalan Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri pada 2014 hingga 2018.

Sulaiman juga mempunyai kelulusan Profesional Sarjana Pengurusan, Pesuruhjaya Jaminan Kualiti (QAC) dari United Kingdom dan mempunyai kelulusan latihan di Akademi Laut Malaysia (Alam) serta berpengalaman dalam bidang industri minyak dan gas selama 25 tahun membabitkan syarikat Petronas Carigali, ExxonMobil dan Industri Pembangunan Minyak dan Gas.

Hasil perkahwinan dengan Datin Munira M Yusop, beliau dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Amsyar Sulaiman, Muhammad Ikhlas Sulaiman dan Putri Balqis Sulaiman.

Artikel Berkaitan: