Lantik Azam Baki terajui SPRM bukti kerajaan telus: Pas

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

SHAH ALAM – Pelantikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, bukti komitmen kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat dan memelihara integriti badan penguat kuasa di Malaysia.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemilihan tokoh yang bebas daripada kecenderungan politik kepartian sangat penting bagi menjamin ketelusan dan keadilan.

“PAS mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri (Azam Baki) yang telah diamanahkan sebagai Ketua SPRM yang baharu.

“Pelantikan beliau yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini adalah bukti komitmen kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat dan memelihara integriti badan penguatkuasa di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, Pas melihat pelantikan Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu adalah untuk meningkatkan semula keyakinan rakyat terhadap reformasi sebenar institusi politik negara.

“Semoga tidak timbul lagi alasan daripada pihak-pihak tertentu mengenai pendakwaan terpilih atau bermotif politik dalam kes-kes yang berprofil tinggi.

“Pas berharap agar tindakan dilakukan sepanjang seminggu pentadbiran kerajaan baharu memberi impak positif kepada perjalanan urus tadbir negara dan keharmonian rakyat sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Elakkan terlalu banyak permainan politik dan fokus kepada pembangunan Malaysia yang sejahtera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Azam mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang turut memperkenankan permohonan Latheefa Beebi Koya untuk meletakkan jawatan.

Kerajaan juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Latheefa atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun tahun lalu.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang turut memohon memendekkan tempoh kontrak perkhidmatannya.

ARTIKEL BERKAITAN Azam Baki dilantik terajui SPRM