Tiada tekanan untuk lepas jawatan MB Selangor

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak menerima sebarang tekanan supaya melepaskan jawatannya susulan perkembangan politik negara kini.

Amirudin berkata, sehingga kini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung perkara itu.

"Sehingga kini tiada (tekanan) dari presiden. Kita akan meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu untuk mentadbir negeri ini dengan sebaiknya," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Penganjuran Karnival Tanah Selangor 2020 di Bilik Gerakan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) hari ini.

Sebelum ini, kedudukan Amirudin sebagai Menteri Besar menjadi persoalan kepada pihak tertentu yang menganggap beliau perlu melepaskan jawatan susulan pertukaran kerajaan.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi turut berpendapat PKR perlu tegas membuat keputusan berhubung kedudukan Amirudin yang sebelum ini dilihat sebagai penyokong kuat bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas mengenai impak pertukaran kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Selangor, Amirudin berkata, pihaknya memandang positif perkembangan itu namun berharap satu hubungan profesional di antara pentadbiran itu.

"Kita bukan minta istimewa tapi saya harap ada hubungan profesional antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Bila ada hubungan profesional ini, saya percaya kita dapat kurangkan politiking dalam pentadbiran negeri," katanya.

Artikel Berkaitan: