Mangsa jalan berlubang dapat pampasan RM721,000

ISKANDAR PUTERI - Pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan akibat jalan berlubang disarankan untuk segera melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa berkaitan dan boleh membuat tuntutan pampasan kepada pihak berwajib.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, laporan boleh dibuat pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Katanya, seorang pengguna jalan raya di Masai telah diberikan pampasan berjumlah RM721,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada tahun 2021.
"Sekiranya berlaku kemalangan, atau kerosakan kenderaan disebabkan kerosakan jalan raya, pengguna boleh buat tuntutan kepada pihak konsesi yang bertanggungjawab menyelia laluan tersebut.
"Kaedahnya adalah dengan mengambil gambar kemalangan atau kerosakan kenderaan, gambar kerosakan jalan raya, sertakan butiran lokasi, waktu, laporan polis serta resit-resit berkaitan kejadian tersebut.
"Surat rasmi kemudian boleh dibuat dan disampaikan kepada pihak terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)," katanya ketika sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) berhubung kualiti tampalan atau turapan jalan di negeri ini.
Tambah Mohamad Fazli, kerajaan negeri komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya dengan memastikan pihak konsesi melaksana kerja-kerja penyelenggaraan sebaiknya.
"Selain kerosakan jalan, kerajaan negeri juga komited menangani isu kesesakan trafik di bandaraya Johor Bahru melalui pembinaan dan pembangunan infrasuktur yang teratur," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

