Pendapatan kerajaan merosot akibat Covid-19

Covid-19 menyebabkan permintaan minyak dunia mengalami kejatuhan. -Foto 123rf
Covid-19 menyebabkan permintaan minyak dunia mengalami kejatuhan. -Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dijangka berdepan masalah kemerosotan pendapatan akibat wabak koronavirus (Covid-19) selain ketidakstabilan politik negara yang memburukkan lagi keadaan.

Profesor Adjung Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, penurunan harga minyak akibat kejatuhan harga minyak dunia disambut baik oleh rakyat Malaysia.

Menurutnya, keadaan itu memberi ruang kepada rakyat untuk menambah pendapatan boleh guna atau 'disposable income'.

"Bagaimanapun kerajaan semakin bermasalah kerana hasil akan berkurangan ditambah ketidakstabilan politik tempatan.

"Tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.5 peratus berbanding sebelum ini 2.75 peratus perlu untuk mengalakkan rakyat berbelanja secara jangka sederhana," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr Zaharuddin, langkah itu juga menggalakkan rakyat membuat pinjaman dari institusi kewangan bagi perkembangan perniagaan dan perbelanjaan lain.

Katanya, perkara itu penting untuk mendorong perkembangan ekonomi dan mengawal inflasi.

Bagaimanapun jelasnya, meskipun pelbagai langkah dibuat tetapi keadaan yang terpaksa dilalui negara sekarang ia masih dianggap sangat mencabar.

Artikel Berkaitan:

"Pakej rangsangan adalah baik untuk memberi sedikit ketahanan dalam masa sukar Covid-19 tetapi persoalan utamanya bagaimana agihan dan secepat mana pakej itu boleh sampai ke bawah seterusnya memberi impak kepada ekonomi Malaysia, ia tidak jelas khususnya Kabinet masih belum wujud lagi.

"Sektor paling terjejas bermula dengan pelancongan, kemudian sektor penerbangan, perhotelan, pasar raya, restoran, taman tema dan banyak lagi akan menerima kesannya," katanya.

Tambah Dr Zaharuddin, sektor paling meningkat tentulah pembuatan topeng muka, sarung tangan dan pengeluar bahan pembersihan sabun dan servis-servis berkaitan.

Bagaimanapun, jelasnya, peningkatan di sektor pembuatan terbabit tersebut lebih kecil kesan limpahan positifnya berbanding kejatuhan di sektor yang lain, justeru ia tidak mampu diimbangkan dengan lestari.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menurut jangkaan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), sektor penerbangan dijangka akab mengalami kerugian lebih 113 bilion dolar Amerika Syarikat apabila Covid-19 merebak ke seluruh dunia dan mengganggu laluan penerbangan.

"Dijangka akan berlaku banyak kebankrapan dalam beberapa bulan lagi jika keadaan ini berterusan," katanya.