Kewibawaan Muhyiddin dipertikai jika lambat umum Kabinet

Gambar dari kiri: Dr Mohd Yusri Ibrahim, Achmad Dzariean
Gambar dari kiri: Dr Mohd Yusri Ibrahim, Achmad Dzariean
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera membentuk anggota Kabinetnya bagi menunjukkan kepimpinan beliau diterima dengan baik oleh semua parti komponen Perikatan Nasional khususnya UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, kegagalan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbuat demikian dalam masa terdekat secara tidak langsung akan menyebabkan khalayak awam akan membuat tanggapan bahawa beliau tidak memiliki karisma kepimpinan yang hebat khususnya dalam membuat keputusan.

"Apabila masyarakat awam membuat tanggapan begitu, itu adalah isyarat kurang baik terhadap kompetensi kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"Pada setiap masa masyarakat sama ada dalam dan luar negara perlu diyakini bahawa Malaysia sedang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang berkaliber.

"Untuk itu, beliau perlu bersegera membuat keputusan dan menyenaraikan barisan Kabinet kerajaan, tidak boleh ditangguh-tangguh lagi," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengulas lanjut, Dr Yusri yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, selain itu, situasi negara yang sedang berdepan dengan dua isu yang sangat besar iaitu penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan kelembapan ekonomi kesan daripada epidemik tersebut juga menuntut supaya jemaah Kabinet itu perlu disegerakan.

Katanya, bagi mendepani dua isu besar itu, Malaysia memerlukan kerajaan yang efektif untuk mengambil semua tindakan yang perlu bagi membendung dan mengatasi permasalahan tersebut.

"Lantikan menteri perlu dibuat segera untuk membolehkan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat Kabinet sekaligus membuat keputusan-keputusan penting terutama untuk menangani isu kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda.

Artikel Berkaitan:

"Jika Muhyiddin masih ada masalah untuk membentuk Kabinet penuh, beliau boleh menamakan menteri secara berperingkat seperti yang pernah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini," katanya.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi seorang lagi penganalisis politik, Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri.

Menurut Dr Achmad Dzariean yang juga Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan adanya pelantikan jemaah Kabinet baharu itu secara tidak langsung dapat membantu memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap kerajaan selepas krisis politik yang melanda negara sejak dua minggu lalu.

Katanya, meskipun secara pentadbiran Muhyiddin tidak berdepan dengan masalah dengan ketiadaan menteri atau timbalan menteri pada waktu ini kerana ia diisi oleh Ketua Setiausaha (KSU) di semua kementerian, namun ia tetap menjadi gambaran yang kurang sihat kepada ahli Parlimen Pagoh itu.

"Tetapi akan timbul masalah di mana ketidakyakinan pelabur asing terhadap kerajaan baharu dibentuk. Ini sebenarnya akan mengundang satu persepsi bahawa kerajaan itu tidak akan nampak stabil di mata mereka dan juga tidak nampak stabil di mata rakyat.

"Jadi perlu disegerakan pelantikan menteri Kabinet ini untuk mengisi kekosongan yang ada kerana melalui pelantikan ini tugas Perdana Menteri dapat diringankan di mana apa yang kita sedia maklum pada ketika ini beliau memikul hampir kesemua tanggungjawab menteri Kabinet," katanya.