Trump tidak peduli nasib penumpang Grand Princess

Trump (dua dari kanan) mendengar penjelasan daripada Pengarah Bersekutu Sains dan Keselamatan Makmal, Steve Monroe (kiri) ketika menghadiri taklimat Covid-19 di Atlanta semalam. - Foto Agensi
Trump (dua dari kanan) mendengar penjelasan daripada Pengarah Bersekutu Sains dan Keselamatan Makmal, Steve Monroe (kiri) ketika menghadiri taklimat Covid-19 di Atlanta semalam. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dituduh mementingkan diri sendiri apabila tidak senada dengan Naib Presidennya, Mike Pence berhubung cadangan mengevakuasi ribuan penumpang dan kru sebuah kapal persiaran yang terkandas di perairan San Francisco akibat koronavirus (Covid-19).

Sebelum ini, Pence dan pegawai dari Jabatan Kesihatan AS mencadangkan kesemua penumpang dan kru Grand Princess perlu dikeluarkan bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

Pence memberi alasan bahawa pemindahan segera mampu menghindarkan kapal tersebut mengalami nasib sama seperti Diamond Princess yang menjadi pusat wabak Covid-19 di perairan Jepun menyaksikan hampir 700 jangkitan termasuk enam kematian.

Bagaimanapun, Trump mempunyai cadangan lain iaitu membiarkan individu dijangkiti Covid-19 terus berada di atas Grand Princess.

Menurut Trump, langkah itu bagi memastikan jumlah kes di AS kekal pada paras terendah.

"Lebih baik mereka terus berada di atas kapal tersebut. Ini pandangan peribadi saya.

"Saya tidak mahu jumlah jangkitan di negara ini meningkat dua kali ganda gara-gara sebuah kapal.

"Sedangkan kita tidak buat apa-apa kesalahan," kata Trump.

Artikel Berkaitan:

Tambah Trump, beliau memberi kuasa penuh kepada Pence untuk memutuskan sama ada mahu meneruskan proses evakuasi atau sebaliknya.

Semalam, Pence mengesahkan 21 individu di atas kapal terbabit disahkan positif Covid-19 dan mengarahkan semua 3,533 penumpang dan anak kapal menjalani saringan kesihatan serta akan dikuarantin jika perlu.

Grand Princess terkandas di perairan San Francisco sejak Rabu lalu ketika ia sepatutnya berlabuh selepas dua orang di atas kapal itu dalam pelayaran sebelum ini telah dijangkiti Covid-19.

Seorang daripada mangsa terbabit kemudian meninggal dunia.

Setakat ini, jangkitan Covid-19 di seluruh AS meningkat kepada 400 kes dengan New York menjadi bandar raya terbaharu mengumumkan darurat kesihatan. - Agensi