Syed Saddiq, cukuplah buat Bersatu tersepit: Muzzammil

Gambar dari kiri: Muzzammil, Syed Saddiq
Gambar dari kiri: Muzzammil, Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diminta tidak terus merumitkan keadaan dan menyebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tersepit dengan kenyataan beliau yang dilihat 'tidak mesra' Melayu.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Muzzammil Ismail berkata, hala tuju dan strategi Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak awal adalah untuk menyelamatkan parti itu daripada kehilangan kuasa dan mandat rakyat khususnya bumiputera.

Justeru katanya, parti politik berasaskan kaum masih lagi relevan dalam era Malaysia baharu ketika ini terutama untuk survival parti bagi menghadapi sokongan rakyat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Kita perlu faham Bersatu berhadapan cabaran besar untuk memperkasakan masyarakat Melayu dalam mendepani cabaran semasa khususnya pertembungan.

"Parti Bersatu berhadapan kesukaran untuk memenangi kawasan majoriti Melayu kerana defisit kepercayaan terhadap Pakatan Harapan (PH) semakin membuak-buak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Muzzammil yang juga calon Ketua Armada itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Syed Saddiq yang memilih untuk sentiasa menjadi rakyat Malaysia dahulu ketika ditanya pendirian beliau berhubung politik perkauman.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata demikian ketika sesi temu bual dalam rancangan UpFront di saluran berita Al Jazeera malam tadi.

Mengulas lanjut, Muzzammil berkata, setiap pemimpin perlu jelas tidak bermuka-muka untuk memastikan survival parti kekal berkuasa dan dapat mengangkat hala tuju parti dalam mempertahankan Melayu dan Islam.

Artikel Berkaitan:

"Isu ICERD, kenyataan Syed Saddiq tidak setuju dengan prinsip ketuanan Melayu, menghalau pulang Dr Zakir Naik, LTTE, tulisan jawi, dan desakan letak jawatan terhadap Tun Mahathir adalah antara faktor-faktor yang membuatkan rakyat (orang Melayu) menolak PH.

"Seseorang boleh menjadi pemimpin kerana prinsipnya diangkat oleh pengikut. Sesebuah parti boleh berkuasa kerana ada pihak yang bekerja mendapatkan kuasa," katanya.