X

Kindly register in order to view this article
!

4 ADUN Bersatu Selangor jumpa Muhyiddin minggu depan

Mohd Shaid
A
A

SHAH ALAM - Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor bakal mengadakan pertemuan bersama Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu hadapan.

ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, pertemuan tersebut bagi membincangkan mengenai kedudukan kerjasama antara Bersatu dengan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya ingin mendapatkan pandangan daripada Muhyiddin berhubung formula kerjasama dengan PH yang kini diguna pakai di Kedah dan Pulau Pinang.

"Di Kedah dan Pulau Pinang, Bersatu masih lagi bersama PH. Jadi formula ini juga dapat diguna pakai di Selangor.

"Oleh itu, kita empat ADUN Bersatu Selangor akan adakah pertemuan dengan presiden minggu hadapan bagi membincangkan perkara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan Selangor menyingkirkan Bersatu daripada parti komponen PH selepas mengambil kira penjajaran semula politik negara yang berlaku di peringkat Pusat.

ARTIKEL BERKAITAN: PH Selangor singkir ahli Bersatu dalam jawatan kerajaan

Malah, beliau turut memaklumkan peruntukan kepada ADUN Bersatu dan Bebas juga akan dibekukan selepas ini.

Susulan itu, Mohd Shaid bersama tiga lagi ADUN Bersatu iaitu Sallehudin Amiruddin (Kuang), Harumaini Omar (Batang Kali) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil) turut mengadakan pertemuan bersama Amirudin sebelum ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pertemuan bersama Amirudin baru-baru ini, Mohd Shaid berkata, perjumpaan itu dibuat bagi menyatakan sokongan kepada PH Selangor susulan daripada perubahan pentadbiran di kerajaan Pusat.

"Malah Amirudin turut memaklumkan akan mengadakan perbincangan bersama pengerusi parti komponen PH lain bagi membincangkan mengenai formula diguna pakai di Kedah dan Pulau Pinang itu," katanya

Mengulas mengenai pembekuan peruntukan oleh kerajaan negeri, Mohd Shaid berkata, tindakan itu pastinya akan menimbulkan kesukaran buat pihaknya untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat.

Katanya, operasi di pejabat ADUN juga akan turut terganggu malah bantuan kepada rakyat berkemungkinan tidak dapat disalurkan secara menyeluruh ekoran kekangan kewangan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!