Aznil Bidin bakal tempuh laluan sukar ke Tokyo 2020

Muhamad Aznil. - Foto Bernama
Muhamad Aznil. - Foto Bernama
A
A
A

KEJOHANAN Angkat Berat di Republik Nauru, April depan bakal menjadi penentu bagi jaguh angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin untuk menempah slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlit kelahiran Kedah itu yang kini menduduki ranking ke-28 dunia bagi kategori 61 kilogram baru sahaja pulang ke tanah air selepas meraih satu pingat perak dan dua gangsa kategori yang sama dalam Kejohanan Solidariti Antarabangsa di Uzbekistan.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menyifatkan ia laluan sukar bagi atlet berkenaan memandangkan terdapat persaingan sengit daripada atlet dunia lain yang turut memburu slot ke temasya berprestij itu.

"Jika menang di Nauru nanti, kita jangkakan Aznil akan berada di kedudukan antara 16 dan 17. Negara lain juga berlumba-lumba untuk layak ke Sukan Olimpik, maka dia perlu berada di kedudukan 10 terbaik dunia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada Disember lepas, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 itu menamatkan penantian enam tahun untuk meraih pingat pada Sukan SEA dengan kilauan gangsa bagi kategori 61 kg.

Sementara itu, Ayub yang juga Pengerusi Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Johor berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan terkini daripada Sekretariat Sukan Malaysia (Sukma) sebelum memuktamadkan senarai atlet yang akan bertanding pada Sukma ke-20.

Sukma ke-20 dijadual berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai. - Bernama

Artikel Berkaitan: