[VIDEO] Abot, Rambai berjaya jinakkan gajah tunggal

A
A
A

GERIK – Seekor gajah liar jantan dianggarkan berusia 45 tahun yang dilaporkan mengganggu tanaman penduduk di Kampung Padang Stang di sini berjaya ditangkap pada Rabu lalu.

Mamalia dianggarkan seberat tiga tan itu ditangkap menerusi satu operasi yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, gajah liar tunggal itu telah menimbulkan konflik dan menyebabkan kerosakan tanaman pokok getah serta pokok buah penduduk.

Menurut beliau, gajah bergading yang diberi nama Yob Padang itu antara gajah terbesar yang pernah ditangkap di Perak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Yob Padang berusia 45 tahun merupakan gajah tunggal terbesar yang berjaya dipindahkan oleh Perhilitan di Gerik pada Selasa.
Yob Padang berusia 45 tahun merupakan gajah tunggal terbesar yang berjaya dipindahkan oleh Perhilitan di Gerik pada Selasa.

“Gajah jantan ini dikatakan tunggal apabila hidup sendirian dengan meninggalkan kumpulan apabila mencapai usia matang.

“Dengan khidmat gajah denak, Abot dan Rambai, operasi pindah berjalan lancar apabila gajah liar terbabit berjaya dijinakkan dalam kurang 15 minit,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Menurut beliau, Pasukan Unit Tangkapan Gajah (UTG) juga berjaya memindahkan seekor lagi gajah jantan dianggarkan seberat 1.5 tan di Kampung Bongor di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Khidmat Abot dan Rambai berjaya menjinakkan Yob Padang yang dilaporkan menganggu tanaman penduduk di Kampung Padang Stang, Gerik, minggu lalu.
Khidmat Abot dan Rambai berjaya menjinakkan Yob Padang yang dilaporkan menganggu tanaman penduduk di Kampung Padang Stang, Gerik, minggu lalu.

“Yob Bongor yang berusia 14 tahun itu bersama Yob Padang akan dipindahkan ke habitat selamat. Kawalan bagaimanapun akan diteruskan berikutan kehadiran gajah lain di kawasan ini dikesan.

“Seramai 25 anggota Perhilitan Perak termasuk dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah dan Perhilitan Johor membantu melancarkan operasi selama dua hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung, Md Shamsuri Shaari, 65, berkata dengan kecekapan Perhilitan menangkap gajah liar itu, ia dapat memberi keselamatan kepada penduduk berhampiran.

“Kawasan ini sentiasa didatangi gajah yang merosakkan tanaman penduduk. Selalunya setiap dua tahun sekali, kumpulan haiwan liar berkenaan akan melalui kawasan ini.

“Apabila tahu haiwan masuk, penduduk takut keluar menoreh kerana bimbang akan terserempak dengan gajah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!